MESSI ketika menjulang trofi Copa America. FOTO AFP
MESSI ketika menjulang trofi Copa America. FOTO AFP
Agensi

Barcelona: Ronald Koeman menegaskan Lionel Messi adalah calon utama untuk memenangi anugerah Ballon d'Or pada tahun ini selepas mempamer aksi cemerlang bersama kelab dan skuad kebangsaan.

Messi sudah memenangi anugerah berprestij itu sebanyak enam kali berbanding lima dimenangi Cristiano Ronaldo dan kemenangan kali ketujuh akan menyaksikannya terus mengatasi Ronaldo.

Messi sekali lagi menjadi tumpuan untuk memenangi anugerah itu selepas membantu Argentina menjuarai Copa America di Brazil.

Ketika dia hanya mampu menjulang trofi Copa del Rey bersama Barcelona musim lalu, Koeman percaya sumbangan jaringannya bersama kelab dan skuad kebangsaan mencerahkan peluangnya memenangi anugerah itu.

"Dia sangat penting. Dia seorang kapten dan menjadi contoh rakan sepasukan lain," kata bos Barcelona itu di laman web kelab itu.

"Jaringannya sangat menakjubkan meskipun melalui musim yang sukar."

"Messi sekali lagi menunjukkan bahawa dia adalah pemain terbaik di dunia. Saya tahu betapa dia sangat inginkan untuk memenangi Copa America dan dia berjaya memenuhinya.

"Bagi saya, Messi adalah adalah calon utama memenangi anugerah Ballon d'Or selepas melalui musim cemerlang."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 9:31 PM