VARANE (kiri) dilihat mampu membentuk gandingan mantap bersama Maguire di bahagian pertahanan tengah. FOTO AFP
VARANE (kiri) dilihat mampu membentuk gandingan mantap bersama Maguire di bahagian pertahanan tengah. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United hampir bersetuju dengan syarat peribadi pemain Real Madrid, Raphael Varane yang menjadi buruan utama mereka untuk memperkuatkan bahagian pertahanan.

Menurut Manchester Evening News, Red Devils sekarang ini sedang sibuk menyelesaikan perbincangan dengan pertahanan tengah Perancis itu dan bersama wakilnya.

United berharap dapat melengkapkan perpindahan Varane minggu depan tatkala mereka berusaha memantapkan pasukan bagi bersaing dengan pencabar terdekat.

Manchester City kembali meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, selepas 12 mata meninggalkan pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.

Mereka berharap dengan kehadiran Varane dan Jadon Sancho, yang bakal berpindah dari Borussia Dortmund, membolehkan United mencabar kedudukan teratas liga.

Solskjaer dilihat cenderung untuk memperkuatkan bahagian pertahanan tengah, sekali gus menimbulkan tanda tanya buat Victor Lindelof dan Eric Bailly.

Dengan kemampuan yang ada, Varane dilihat sebagai pasangan ideal buat ketua pasukan, Harry Maguire.

Produk akademi, Axel Tuanzebe dan Phil Jones yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan juga antara pertahanan tengah dalam skuad Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 12:38 AM