PEMAIN Denmark berlatih menjelang perlawanan suku akhir Euro 2020 menentang England di Wembley, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Denmark berlatih menjelang perlawanan suku akhir Euro 2020 menentang England di Wembley, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Pasukan yang mencipta kejutan mara ke separuh akhir Euro 2020, Denmark, boleh bersandarkan kepada sokongan dari luar England selepas perjuangan penuh emosi dilalui mereka.

Dikejutkan dengan serangan jantung ke atas pemain tengah, Cristian Eriksen yang rebah di padang pada perlawanan pembukaan, Denmark menghadapi aksi terakhir kumpulan tanpa mata.

Tetapi, pada ketika Eriksen semakin pulih selepas insiden itu, anak buah Kasper Hjulmand kemudian melakar tiga kemenangan berturut-turut untuk mara ke separuh akhir kali pertama dalam tempoh 29 tahun, selepas muncul juara Euro 1992.

Eriksen dijemput menyaksikan final di Wembley oleh Uefa dan Hjulmand menggesa pasukannya yang bukan pilihan untuk membuat janji temu dengan rakan sepasukan mereka itu.

"Kami masih bermain untuk dia dan bersama semangatnya. Tiada keraguan mengenai perkara itu. Itu saja perkara yang mampu saya katakan mengenai Christian," katanya.

"Ia sesuatu yang membuatkan kami melakukan perjuangan ini semampu mungkin. Saya harap jika dia datang, kami yang beraksi di final, itu memang situasi luar biasa."

Semalam, penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel secara berseloroh menempelak keghairahan slogan 'Bola sepak kembali ke tempat asal' yang kini dinyanyikan penyokong England.

Ia mula diperkenalkan dan menjadi popular apabila Three Lions melangkah ke separuh akhir Euro 96.

Ditanya sama ada ia akan menjejaskan impian England di Euro, Schmeichel berkata: "Adakah ia pernah kembali ke tempat asal? Saya tidak tahu. Adakah anda pernah menang? 1966? Adakah itu bukan Piala Dunia?

"Secara peribadi, saya tidak fikir mengenai ia boleh menyekat England. Ia lebih kepada apa yang perlu dilakukan bagi Denmark. Saya langsung tidak fokus kepada skuad England.

"Ia lebih kepada apa yang perlu dilakukan untuk menggembirakan negara dan rakyat sendiri. Kegembiraannya adalah memuaskan hati lima juta orang di negara sendiri."

England sudah pasti pilihan utama untuk melangkah ke final, menyebabkan tekanan hebat dan harapan tinggi ke atas anak buah Gareth Southgate untuk mengatasi Denmark.

"Apabila anda ada pasukan dengan ramai pemain bintang seperti England, jangkaan dan harapan memang tinggi," kata Schmeichel.

"Saya tidak boleh gambarkan bagaimana kesan terhadap pasukan akibat harapan tinggi penyokong mereka. Tetapi mereka menghormati kami dan tahu kami akan berjuang hingga ke akhirnya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 9:00 PM