Schmeichel (kiri) dan anak lelakinya gamit memori 1992 skuad negaranya. FOTO Agensi
Schmeichel (kiri) dan anak lelakinya gamit memori 1992 skuad negaranya. FOTO Agensi
AFP

London: Peter Schmeichel berkata anak lelakinya, Kasper Schmeichel harus bersedia dengan penentuan penalti jika diperlukan apabila berdepan England pada saingan separuh akhir Euro 2020, Khamis ini, sambil memberi amaran cabaran Denmark tidak boleh diperlekehkan.

Bekas penjaga gol Manchester United adalah sebahagian daripada skuad Denmark yang mengejutkan dunia pada 1992 apabila mereka memenangi kejuaraan Eropah buat pertama kali ketika menerima jemputan lewat ke kejohanan itu apabila bekas negara Yugoslavia tidak layak.

Schmeichel mengetuai pasukan dengan mengekalkan rekod bersih berdepan England di pertarungan Kumpulan Satu tetapi apa yang lebih penting kejayaan menafikan jaringan Marco van Basten dalam kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti ke atas Belanda di peringkat empat terbaik sebelum mengatasi Jerman pada final untuk membantu negaranya memenangi trofi.

"Saya pasti dia akan merasai perkara sama yang saya lakukan - ia adalah satu lagi cabaran," kata penjaga gol berusia 57 tahun itu kepada ITV apabila ditanya bagaimana perasaan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel mengenai penentuan penalti.

"Dia harus menghadapinya dan ia adalah sebahagian tugas yang dipilih untuk dilakukan. Dia tahu bagaimana ketaranya dan bagaimana besarnya tetapi pada penghujungnya dia hanya boleh melakukan di mana peranan penjaga gol dan dia akan bersedia dengannya.

"Saya fikir satu perkara yang dia akan fikir adalah bila kali terakhir Denmark berada di peringkat separuh akhir kejuaraan Eropah, Denmark pernah menang menerusi penalti jadi dia boleh menempuhi perkara sama."

England adalah pasukan pilihan untuk mara di Wembley pada Khamis ini sekali gus ke final pertama kejuaraan Eropah tetapi Schmeichel memberi amaran kepada anak buah Gareth Southgate agar tidak memperlekehkan Denmark, yang pulih daripada insiden trauma membabitkan Christian Eriksen sebelum mara dalam kelompok empat terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 8:58 PM