HJULMAND kecewa dikalahkan dengan keputusan penalti kontroversi. FOTO EPA
HJULMAND kecewa dikalahkan dengan keputusan penalti kontroversi. FOTO EPA
Agensi

London: Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand tidak dapat menyembunyikan kekecewaan di atas keputusan penalti yang menyingkirkan pasukannya dari Euro 2020 selepas tumpas 1-2 di separuh akhir kepada England.

Gol sendiri Simon Kjaer memadamkan jaringan pembukaan Denmark melalui Mikkel Damsgaard dan selepas aksi sebenar tamat 1-1, England dihadiahkan penalti pada masa tambahan.

Sepakan penalti Harry Kane berjaya diselamatkan Kasper Schmeichel namun penyerang England itu berjaya menjaringkan gol melalui tindakan susulan.

"Kami berasa sangat kecewa dan ia sangat sukar untuk saya bercakap mengenainya. Mungkin mudah untuk saya bercakap apa yang saya rasakan dalam beberapa hari selepas ini," kata Hjulmand.

Raheem Sterling berjaya mendapatkan penalti selepas penyerang Manchester City itu dijatuhkan dalam petak penalti.

Kekasaran berkenaan dilihat sangat minimum dan memerlukan rujukan Video Bantuan Pengadil (VAR).

"Kami berasa sangat kecewa kerana hampir untuk ke final. Kami kecewa kalah dengan keputusan seperti ini.

"Ia bukan penalti sepatutnya dan ia memang sangat merimaskan saya. Kami kecewa dan sangat kecewa," kata Hjulmand

Beliau berkata, kekalahan adalah perkara biasa dalam bola sepak tapi bukan dengan cara sedemikian.

"Anak buah saya sudah banyak berkorban. Ia memeritkan. Saya rasa kami harus memahami dulu perkara ini sebelum menggambarkan bagaimana perasaan saya sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 10:29 AM