KANE menjadi kegemaran penyokong sejak berjaya menempatkan diri di bawah kendalian Pochettino. FOTO Agensi
KANE menjadi kegemaran penyokong sejak berjaya menempatkan diri di bawah kendalian Pochettino. FOTO Agensi
AFP

London: Ketua pasukan England, Harry Kane menegaskan dia tidak pernah menolak untuk berlatih di Tottenham Hotspur walaupun gagal tampil pada ujian pramusim Isnin lalu.

Penyerang berusia 28 tahun itu, yang bercuti di Bahamas minggu ini sebelum melakukan perjalanan ke Florida di tengah spekulasi bahawa dia cuba memaksa berlakunya perpindahan ke Manchester City, mengatakan dia akan kembali berlatih secepat mungkin.

Ketiadaannya, bagaimanapun, menimbulkan kritikan hebat dari penyokong Spurs di media sosial.

"Sudah hampir 10 tahun sejak saya membuat penampilan pertama di Spurs. Untuk setiap tahun berkenaan, penyokong sentiasa menunjukkan sokongan dan kasih sayang sepenuhnya kepada saya.

"Itulah sebabnya ia membuatkan saya sakit hati membaca beberapa komen yang dilakukan minggu ini, dengan mempersoalkan tahap profesional saya.

"Walaupun saya tidak akan mengetahui keadaan tertentu, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak akan, dan tidak pernah, menolak untuk berlatih. Saya akan kembali ke kelab hari ini seperti yang dirancang," katanya di Twitter.

Kane menjadi kegemaran penyokong sejak berjaya menempatkan diri di bawah kendalian Mauricio Pochettino dan terus menjaringkan 221 gol untuk Tottenham, kedua terbanyak sepanjang zaman selepas Jimmy Greaves 266 gol.

"Saya tidak akan melakukan apa-apa untuk menjejaskan hubungan saya dengan penyokong yang memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi selama saya bersama kelab," katanya.

Sebelum ini pengurus City, Pep Guardiola berkata, mereka hanya akan menandatangani Kane, yang memiliki baki kontrak tiga tahun, jika Tottenham sedia berunding mengenai harga pemain berkenaan.

Guardiola mengatakan Spurs harus bergantung pada harga permintaan mereka yang dilaporkan sebanyak £150 juta (RM878 juta) sebelum sebelum kata putus dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 10:33 AM