RONALDO tetap jadi rebutan gergasi Eropah. FOTO AFP
RONALDO tetap jadi rebutan gergasi Eropah. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester City dilapor menawarkan Cristiano Ronaldo kontrak dua tahun selepas gagal mendapatkan Harry Kane pada musim panas ini.

Skuad Pep Guardiola memburu khidmat bintang Tottenham dan kapten England itu tetapi penyerang bernilai £150 juta (RM864j) semalam berkata dia 100 peratus kekal di Spurs.

City kini memiliki pilihan terhad di bahagian hadapan selepas perpindahan Sergio Aguero menerusi perpindahan percuma. Hanya Gabriel Jesus penyerang berprofil tinggi selain Ferran Torres dan Liam Delap.

Menurut Gianlucadimarzio.com, City sedia menawarkan Ronaldo kontrak dua tahun dengan gaji £230,000 (RM1.32 juta) seminggu tetapi tidak mahu membayar Juventus yuran perpindahan untuk mendapatkan ikon Portugal itu.

Laporan juga menyebut kelab Old Lady menetapkan £25 juta (RM144j) untuk pemain veteran itu yang membolehkan mereka mencari pengganti pada saat akhir jendela perpindahan.

Juventus turut berminat dengan idea pertukaran dengan bintang Brazil, Jesus tetapi Guardiola dikatakan tidak menyetujuinya.

Laporan sekitar Eropah mendakwa Ronaldo, 36, kini mahukan cabaran baharu dan ejennya, Jorge Mendes menawarkan bintang Portugal itu kepada City minggu lalu dengan harga £25 juta.

Ronaldo tidak tersenarai dalam kesebelasan Juventus menentang Udinese dalam aksi Serie A baru-baru ini sekali gus meningkatkan spekulasi masa depannya tetapi dia masuk sebagai pemain gantian dan nyaris meledak jaringan kemenangan namun dibatalkan VAR.

Ronaldo turut menjadi idaman Paris Saint-Germain yang kini bergelut mengekalkan Kylian Mbappe selepas Real Madrid menawarkan £137 juta (RM789j) minggu ini.

Tetapi City memulakan langkah lebih berani untuk mendapatkan tandatangan Ronaldo selepas berbelanja besar membeli pemain tengah England dan Aston Villa, Jack Grealish dengan harga rekod £100 juta (RM576j).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 2:06 PM