BONUCCI dilihat menjerit di depan kamera. FOTO Agensi
BONUCCI dilihat menjerit di depan kamera. FOTO Agensi
Agensi

London: Pertahanan Itali, Leonardo Bonucci menjerit 'it's coming to Rome' (ia akan datang ke Rom) selepas dia serta rakan sepasukannya menewaskan England menerusi penentuan penalti, hari ini.

Pemain veteran berusia 34 tahun itu yang menjaringkan gol penyamaan, dilihat menjerit perkataan itu di depan kamera ketika meraikan kejayaan Itali muncul juara Euro 2020 di Wembley.

Selepas Itali mengesahkan kemenangan, Bonucci melihat kamera sebelum menjerit: "It's coming to Rome! It's coming to Rome!"

Dia kemudian meraikan kejayaan Itali bersama rakan sepasukan selepas Azzurri memenangi trofi berprestij itu buat kali kedua.

Reaksi Bonucci itu adalah sebagai membalas sorakan penyokong England 'it's coming home' (ia sudah pulang), iaitu perkataan yang sering dilaungkan setiap kali Three Lions beraksi cemerlang di kejohanan utama.

Rom adalah ibu negara Itali dengan penyokong England sebelum itu melaungkan 'it's coming Rome' ketika mereka bertemu Ukraine di suku akhir.

Bonucci yang membarisi pasukan yang tewas pada final Euro 2012 di tangan Sepanyol sembilan tahun lalu, pasti akan mengingati kejayaan indah hari ini.

Bintang Juventus itu menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua sekali gus menafikan gol pendahuluan Luke Shaw minit ke-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 8:57 AM