PEMAIN Denmark meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir. FOTO AFP
PEMAIN Denmark meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir. FOTO AFP
AFP

Baku: Denmark terus terbang dengan sokongan 'sayap' seperti di tempat sendiri selepas kisah dongeng mereka di Euro berterusan dengan kemenangan 2-1 di suku akhir mengatasi Republik Czech di Baku.

Gol pada separuh masa pertama dari Thomas Delaney dan Kasper Dolberg sudah cukup untuk membawa barisan Hjulmand mara ke saingan empat terakhir menempah pertemuan menentang England di Wembley walaupun Czech cuba bangkit pada babak kedua menerusi gol kelima Patrik Schick di kejohanan ini.

Denmark kini menjaringkan 10 gol dan menang tiga perlawanan terakhir mereka selepas memulakan kejohanan ini dengan dua kekalahan dengan aksi pertama mereka dibayangi oleh insiden membabitkan Christian Eriksen yang mengalami serangan jantung di atas padang.

"Kami menang beberapa perlawanan dengan selesa, 4-1 dan 4-0, tapi ini juga sebahagian daripada cara untuk menang perlawanan bola sepak," kata Hjulmand.

"Saya sangat bangga melangkah ke separuh akhir bersama pasukan.

"Sayap yang rakyat berikan kepada kami sangat penting. Kami sangat bangga dapat memberikan sesuatu untuk pulang ke Denmark dan mereka yang menyaksikannya di rumah.

Tiga minggu selepas Eriksen rebah, Denmark kini mengimpikan untuk mengulangi pencapaian 1992 apabila mereka menjulang Kejuaraan Eropah biarpun sebenarnya tidak layak.

Yugoslavia ketika itu berdepan peperangan yang memberikan Denmark peluang kedua dan mereka bermain seperti skuad berkenaan selepas mendapat inspirasi Eriksen rebah di padang dan kini semakin pulih.

"Dia masih sebahagian besar dari pasukan ini dan menjadi watak penting kami ke Wembley," kata Hjulmand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 6:34 AM