SHEVCHENKO juga sangat terkesan selepas Kryvstov terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. FOTO AFP
SHEVCHENKO juga sangat terkesan selepas Kryvstov terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. FOTO AFP
AFP

Rom: Andriy Shevchenko percaya kualiti yang dimiliki England dalam situasi bola mati dan kecederaan Serhiy Kryvtsov menjadi punca kekalahan Ukraine di suku akhir Euro 2020.

Harry Maguire menanduk masuk sepakan percuma Luke Shaw selepas seminit aksi separuh masa kedua selepas Harry Kane membuka jaringan pada minit keempat di Rom.

Ketua pasukan England itu mencetak gol sekali lagi sebelum Three Lions mengesahkan kemenangan 4-0 dengan Jordan Henderson meledakkan gol pertama di peringkat antarabangsa hasil sepakan sudut Mason Mount.

Pertahanan tengah, Kryvstov terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan Viktor Tsyhankov pada separuh masa pertama ketika Ukraine ketinggalan 0-1 namun ketiadaan pemain berkenaan sangat dirasai selepas itu.

Shevchenko yang juga bekas pemain Chelsea dan bintang AC Milan, mengakui mereka sedikit terkesan selepas pertahanan berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan, selain mengakui potensi dimiliki England ketika situasi bola mati.

"Kami tahu England sangat kuat. Saya rasa hari ini terutama mengenai keputusan perlawanan adalah agak sukar buat kami kerana melepaskan jaringan menerusi situasi bola mati.

"Kami kehilangan pemain, pertahanan tengah yang di mana sangat penting ketika situasi bola mati dan kualiti sepakan penjuru serta sepakan percuma yang ada pada England berpotensi menghasilkan jaringan.

"England menggunakan sepakan percuma Shaw dan ia mengubah keadaan kami," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui sangat bangga dengan prestasi pasukannya di kejohanan berkenaan terutama dari segi memberi cabaran dan mara ke suku akhir adalah pencapaian terbaik mereka.

"Saya bangga dengan anak buah saya. Selepas ini saya akan pulang ke rumah dan bertemu keluarga apabila dua bulan meninggalkan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 8:28 AM