BEK kiri England, Luke Shaw (tengah) berebut bola dengan dua pemain Ukraine pada perlawanan suku akhir Euro 2020, 3 Julai lalu. FOTO EPA
BEK kiri England, Luke Shaw (tengah) berebut bola dengan dua pemain Ukraine pada perlawanan suku akhir Euro 2020, 3 Julai lalu. FOTO EPA
Agensi

London: Roberto Carlos kagum dengan bek kiri England, Luke Shaw dan legenda Brazil itu mengatakan 'Shawberto Carlos' memiliki semua ciri untuk menjadi pemain ternama.

Selepas menamatkan musim terbaik bersama Manchester United, pemain berusia 25 tahun itu mencuri tumpuan menjelang separuh akhir Euro 2020 membabitkan skuad the Three Lions dengan Denmark, malam esok.

Shaw menyerlah ketika England menang 4-0 ke atas Ukraine di Rome, apabila dia melakukan dua umpanan jaringan untuk melengkapkan prestasi menarik sehingga diberi nama gelaran 'Shawberto Carlos' di media sosial.

Malah, kapten England, Harry Kane menggemari nama panggilan itu dan prestasinya dikagumi Carlos, yang meletakkan emoji tepuk tangan di ruangan komen Instagram Shaw selepas kemenangan itu.

Carlos berkata kepada agensi berita PA: "Anda boleh lihat dia bermotivasi tinggi.

"Dia semakin meningkat, prestasinya ketika menentang Ukraine memang bagus. Dia memainkan peranan penting bersama skuad England.

"Dia semakin meningkat pada setiap perlawanan dan saya fikir dia memiliki segalanya untuk menjadi pemain ternama. Dia adalah bek kiri England, situasi itu cukup menceritakan segalanya."

Ditanya jika ada persamaan antara permainannya dengan bek kiri England itu, Carlos berkata: "Saya tidak suka membuat perbandingan.

"Ia adalah dua zaman berbeza dalam bola sepak. Saya sudah mengecapi zaman saya dan kini gilirannya pula.

"Persamaan mungkin kekuatan fizikal dan keinginannya untuk menang, sama seperti saya."

Carlos akan menyertai Shaw di Manchester, beberapa bulan lagi selepas bekas bek kiri England dan Brazil itu bersetuju bermain perlawanan amal untuk Soccer Aid for UNICEF di Stadium Etihad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 10:47 PM