PEMAIN tengah England, Jack Grealish (kiri) bersama kapten, Harry Kane meraikan penonton selepas kemenangan ke atas Republik Czech pada perlawanan terakhir Kumpulan D, 22 Jun lalu. FOTO AFP
PEMAIN tengah England, Jack Grealish (kiri) bersama kapten, Harry Kane meraikan penonton selepas kemenangan ke atas Republik Czech pada perlawanan terakhir Kumpulan D, 22 Jun lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Jurulatih England, Gareth Southgate berdepan dilema terbesar memilih kesebelasan utama bagi perlawanan pusingan kedua Euro 2020 menentang Jerman di Wembley, Selasa ini.

Selasa ini, kedua-dua musuh lama itu akan bertemu buat kali pertama di kejohanan besar sejak 2010 pada ketika mereka memburu tempat ke suku akhir kejohanan.

Southgate cukup memahami permusuhan kedua-dua pasukan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti penting di Euro '96 di Wembley, 25 tahun lalu dan menyebabkan pasukannya tersingkir.

Stadium sama bakal menjadi medan pertarungan terbaru dengan kedua-dua pasukan yakin muncul sebagai pemenang.

Ada kemungkinan Southgate merombak pasukan dengan menggunakan tiga pemain pertahanan dan dua bek sayap di samping dua pemain tengah bertahan.

Bagaimanapun, bekas pemain tengah England, Jamie Redknapp - yang juga rakan sepasukan Southgate di Euro '96 - merasakan the Three Lions perlu mengancam dan merisaukan Jerman dengan menurunkan dua pemain iaitu Jack Grealish dan Mason Mount.

Grealish berada dalam kesebelasan utama pada aksi terakhir Kumpulan D dengan Republik Czech dan bermain cemerlang, tetapi prestasi menarik Bukayo Saka dan kehadiran semula Phil Foden akan merumitkan Southgate membuat pilihan.

Bagaimanapun, Redknapp percaya keputusan dibuat Southgate adalah secara terus dan tidak serumit difikirkan ramai orang.

"Secara peribadi, saya tidak nampak sebab Grealish tidak beraksi menentang Jerman," kata Redknapp kepada Sky Sports.

"Sebahagian daripada bermain untuk England dan negara anda adalah sama mampu mengelak terlepas bola kepada lawan.

"Apakah anda sentiasa mampu menguasai bola? Adakah anda mampu melakukan sesuatu?

"Dia beberapa kali mara ke arah pertahanan lawan, mengumpan untuk gol pasukan, jadi saya nampak tiada sebab dia tidak beraksi di pusingan kedua."

Redknapp mengakui dia tidak menjangka Southgate akan menurunkan kapten Aston Villa itu pada aksi pusingan kedua nanti, tetapi menyatakan: "Jika Mason Mount dan Grealish bermain bersama, saya nampak kebimbangan dalam skuad Jerman.

"Saya lebih bimbang bermain menentang dua pemain itu, berbanding Declan Rice and Phillips. Jadi, Jack Grealish perlu bermain."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 10:27 PM