XHAKA tidak dapat beraksi menjelang pertemuan dengan Sepanyol. FOTO AFP
XHAKA tidak dapat beraksi menjelang pertemuan dengan Sepanyol. FOTO AFP
AFP

Saint Petersburg: Switzerland akan meneruskan elemen kejutan sama seperti mereka lakukan terhadap juara Piala Dunia, Perancis menjelang pertemuan dengan Sepanyol tengah malam esok selepas mereka layak ke suku akhir di kejohanan utama buat kali pertama dalam tempoh 67 tahun.

Pasukan bimbingan Vladimir Petkovic bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengheret Perancis ke masa tambahan dan penentuan penalti sebelum wira Piala Dunia 2019, Kylian Mbappe gagal menyempurnakan sepakan terakhir.

Sekarang Switzerland berharap dapat melakukan satu lagi kejutan berdepan Sepanyol, pasukan yang meledak 10 gol dalam dua perlawanan selepas permulaan perlahan di peringkat kumpulan.

Rekod jelas sekali memihak kepada Sepanyol berbanding Switzerland, apabila mereka hanya tewas sekali dalam 22 pertemuan, kekalahan 0-1 di Afrika Selatan yang membuatkan mereka bangkit sebelum menjuarai Piala Dunia 2010.

"Selepas pertemuan dengan Perancis, saya tidak boleh bercakap langsung. Saya kehilangan suara," kata Petkovic, bekas pekerja amal yang dilantik membimbing pasukan pada 2014.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menurunkan ketua pasukan, Granit Xhaka, yang dilayangkan kad kuning ketika berdepan Perancis.

Aksi antara kedua-dua pasukan akan terus diadakan di Saint Petersburg seperti yang dirancang walaupun bandar berkenaan mencatatkan peningkatan jumlah kes Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 10:55 AM