PEMAIN Switzerland gigih berlatih. FOTO/AFP
PEMAIN Switzerland gigih berlatih. FOTO/AFP
Reuters

ST PETERSBURG, Russia: Switzerland menuju perlawanan pusingan kedua Piala Dunia dengan skuad yang lebih mantap berbanding kejohanan lalu namun hanya kemenangan memastikan legasi yang digelar “generasi emas” kekal diingati.

Mereka mungkin kekurangan kualiti di bahagian serangan namun dalam aspek organisasi dan semangat berpasukan membolehkan mereka mengatasi kekurangan itu dan mereka akan diuji tanpa kehadiran kapten Stephan Lichtsteiner dan Fabian Schar.

Dua pertahanan itu, masing-masing digantung selepas mengutip dua kad kuning, adalah aspek penting Switzerland di barisan belakang dan jika mahu melangkah jauh mereka perlu melakukannya tanpa dua pemain itu.

Namun dengan adanya pemain seperti Ricardo Rodriguez, Xherdan Shaqiri dan Granit Xhaka, yang beraksi di liga utama Eropah, mereka masih mempunyai peluang seimbang melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak menjadi tuan rumah Piala Dunia 1954.

Keputusan seri dengan Brazil dan Costa Rica selain kemenangan mengatasi Serbia memastikan kedudukan kedua Kumpulan E di belakang Brazil, manakala penyingkiran mengejut Jerman menyaksikan anak buah Vladimir Petkovic berdepan pasukan yang turut melakar kejutan, Sweden.

Seperti Switzerland, kempen Sweden berjalan lancar dengan hanya tewas minit akhir kepada Jerman 1-2, selain kemenangan ke atas Korea Selatan dan Mexico.

Kedua-dua pasukan melepasi peringkat kumpulan dengan masing-masing meledak lima gol.

Setiap gol dijaringkan pemain berlainan dengan hanya kapten Sweden, Andreas Granqvist meledak lebih daripada satu jaringan di Russia dengan kedua-duanya menerusi sepakan penalti.

Aksi peringkat kumpulan menunjukkan Sweden mampu menguasai bahagian tengah tanpa terlalu memberi tekanan selain cuba memburu jaringan menerusi serangan balas dalam usaha untuk menyamai atau mengatasi pencapaian separuh akhir 1994.

Mereka dijangka mengawal pergerakan lawan di bahagian sayap dan bergantung kepada pertahanan tengah, Granqvist dan Victor Lindelof menafikan sebarang hantaran silang dalam kotak penalti.

Pemain tengah Sweden, Albin Ekdal menegaskan pasukannya tidak semudah yang disangka untuk diatasi.

“Siapa peduli?” katanya. “Kami terbaik di tahap maksimum. Kami tidak mampu bersaing dengan Perancis atau Sepanyol dalam aspek kemahiran mengawal bola namun bola sepak tidak diputuskan dengan hantaran tiki-taka.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 2:08 AM