STERLING kini menjadi nadi di bahagian serangan England. FOTO AFP
STERLING kini menjadi nadi di bahagian serangan England. FOTO AFP
Agensi

London: Adakah Raheem Sterling pemain paling menyerlah buat England di Euro 2020 setakat ini? Terdapat sedikit keraguan mengenai perkara itu.

Tiga gol selepas empat perlawanan, menyaksikan karier Sterling di peringkat antarabangsa terus berubah sejak aksi mengecewakan di Euro 2016.

Dia beraksi buruk lima tahun lalu dan meninggalkan Perancis dengan memperoleh gelaran berbeza berbanding sekarang, 'paling dibenci'.

Sekarang dia tidak dibenci lagi, kerana menjadi harapan seluruh rakyat England dan nadi di bahagian serangan pasukan bimbingan Gareth Southgate.

Pasukan England dilihat sangat baik jika Sterling berada di atas padang, dengan 15 gol dalam 20 penampilan terakhir bersama England sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya.

Harry Kane dianggap sebagai pemain paling penting dalam skuad England, namun prestasi dan statistik setakat ini memberikan gambaran berbeza.

"Dia seorang pejuang, memiliki ketahanan dan kemahuan yang sangat luar biasa. Dia sudah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu untuk menjaringkan gol.

"Sejak aksi pertama ketika bola melintasi kotak penalti, dia akan berada di depan pintu gol. Dia mampu mencari ruang dengan baik sekali. Kami tahu perjalanan yang dilaluinya bersama England dan saya gembira melihat prestasi yang sudah dia buktikan.

"Dapat menggembirakan hati penyokong di Wembley adalah sangat istimewa buat dia. Jaringan yang dilakukan sangat baik, jadi tolong terus bertanyakan soalan apa saja mengenai dia," kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 7:23 AM