FLICK (kanan) ketika menjadi pembantu Loew pada Piala Dunia 2014. FOTO EPA
FLICK (kanan) ketika menjadi pembantu Loew pada Piala Dunia 2014. FOTO EPA
AFP

Berlin: Bekas jurualtih Bayern Munich, Hansi Flick akan menggantikan bekas bosnya, Joachim Loew membimbing Jerman selepas Euro 2020, umum Persatuan Bolasepak Jerman (DFB), hari ini.

"Ia berlaku dengan cepat tetapi saya gembira menjadi jurulatih Jerman," kata Flick, 56, selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun menggantikan Loew.

"Saya sangat teruja kerana dapat menemui pemain berkelas dunia terutama barisan pemain muda yang ada di Jerman."

Flick yang menjadi penolong jurulatih Loew ketika Jerman memenangi Piala Dunia 2014, sudah sekian lama menjadi pilihan utama menggantikan Loew yang akan meninggalkan tugasnya itu selepas 15 tahun membimbing Jerman.

"Dia pilihan utama saya sejak dari mula lagi," kata pengarah pasukan kebangsaan, Oliver Bierhoff.

Flick yang juga pernah menggalas tugas pengarah sukan DFB antara 2014 hingga 2017, muncul salah seorang jurulatih ternama di Eropah sepanjang dua tahun membimbing Bayern Munich.

Selepas mengambil alih tugas daripada Niko Kovac ketika Bayern berdepan krisis, dia membantu kelab itu melakar kejuaraan treble dua tahun berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 6:42 PM