BEKAS pemain tengah Jerman, Mesut Ozil bersara daripada pentas bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia 2018, sekali gus mengecewakan Loew. FOTO AFP
BEKAS pemain tengah Jerman, Mesut Ozil bersara daripada pentas bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia 2018, sekali gus mengecewakan Loew. FOTO AFP
AFP

Herzogenaurach: Jurulatih yang bakal meninggalkan skuad Jerman, Joachim Loew mahu berbincang dengan menjernihkan keadaan dengan Mesut Ozil, selepas pemain tengah itu bersara daripada bola sepak antarabangsa pada 2018 kerana mendakwa berlaku isu perkauman.

Selepas Jerman tewas 0-2 kepada England di Wembley pada perlawanan pusingan kedua Euro 2020, semalam, Loew meletak jawatan selepas 15 tahun membimbing pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, keputusan mengejut Ozil meninggalkan pasukan Jerman selepas kekalahan memalukan di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 kekal sebagai 'kekecewaan peribadi yang besar' buat Loew.

"Masa akan tiba untuk kami berjumpa dan bercakap semula, berbincang semua perkara dan mengetepikan masalah lain," kata Loew di kem latihan Euro 2020 Jerman di in Bavaria.

Ozil, rakyat Jerman berketurunan Turki mendakwa menjadi mangsa perkauman dan meninggalkan skuad kebangsaan selepas aksi memalukan Jerman di Russia.

Tempatnya dalam pasukan menjadi topik perbualan hebat ketika kejohanan, sehingga dia menghantar surat untuk berundur dengan mendakwa Persatuan Bola Sepak Jerman sebagai struktur perkauman.

Dia mendakwa, penyokong menganggapnya sebagai 'rakyat Jerman apabila kami menang, tetapi saya imigran apabila Jerman kalah."

Usaha terakhir Loew untuk bercakap dengan Ozil September 2018 ketika pemain tengah itu masih bersama Arsenal, dilaporkan dihalang kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Apabila dia menandatangi kontrak bersama kelab Turki, Fenerbahce pada Januari lalu, pemain berusia 32 tahun itu menyatakan tidak mahu meneruskan 92 penampilan bersama Jerman.

Dia antara pemain Jerman yang memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil dan Loew menganggapnya sebagai pemain luar biasa penting dan amat bagus.

"Apabila sampai masanya, kami akan bercakap mengenai perkara ini. Kenangan pasti akan menjadi positif buat kami," kata Loew.

Tempat Loew, 61, digantikan bekas pembantunya, Hansi Flick, yang akan memulakan tugas untuk perlawanan kelayakan September ini bagi merebut tempat ke Piala Dunia 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 11:24 PM