POGBA mewarnakan rambutnya dengan warna Juventus. FOTO Agensi
POGBA mewarnakan rambutnya dengan warna Juventus. FOTO Agensi
Agensi

Budapest: Paul Pogba mengenepikan dakwaan dia akan kembali ke Juventus dengan bintang Manchester United dan Perancis itu menegaskan dia kini hanya fokus kepada Euro 2020.

Pogba memberikan aksi luar biasa untuk membantu Karim Benzema meledakkan gol kedua Perancis ketika mereka mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu juara bertahan Portugal dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F.

Perancis mara ke pusingan kedua akan menentang Switzerland di Euro 2020 namun Pogba ketika ditanya mengenai masa depannya selepas melihat gaya rambut terbarunya mencetuskan spekulasi.

Pogba mewarnakan rambutnya dengan warna hitam dan putih - warna kelab lamanya - menimbulkan persoalan sama ada dia akan kembali ke Old Lady, di mana dia beraksi antara 2012 dan 2016.

"Rambut saya hitam dan putih seperti jersi Juventus malam ini? Saya memang menjangkakan soalan ini," kata Pogba ketika kontraknya memasuki tahun terakhir bersama United.

"Saya tidak memikirkan masa depan, saya hanya fokus kepada Euro. Rambut saya sentiasa berubah, anda tahu!"

Perancis tidak pernah tewas dalam 12 perlawanan peringkat kumpulan terakhir mereka di kejohanan antarabangsa utama (Piala Dunia dan Euro) menang tujuh dan lima seri.

Pada usia 33 tahun Benzema menjadi pemain paling berusia menjaringkan gol lebih dari sekali di kejohanan utama buat Perancis (Piala Dunia dan Euro), mengatasi Zinedine Zidane (31 tahun dan 356 hari) menentang England di Euro 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 12:28 PM