REAKSI bersahaja Ronaldo ketika mengalihkan botol Coca-Cola di mejanya pada sidang media Euro 2020. FOTO Agensi
REAKSI bersahaja Ronaldo ketika mengalihkan botol Coca-Cola di mejanya pada sidang media Euro 2020. FOTO Agensi
Agensi

London: Cristiano Ronaldo muncul individu pertama di dunia mempunyai 300 juta pengikut di Instagram.

Bintang bola sepak berusia 36 tahun itu adalah individu yang mempunyai pengikut paling ramai dan jauh meninggalkan pesaing terdekatnya, Dwayne 'The Rock' Johnson di tempat kedua dengan 246 juta pengikut.

Seteru utama Ronaldo, Lionel Messi kurang 81 juta pengikut berbanding bintang Portugal itu dengan 219 juta pengikut ketika ini.

Hanya satu akaun di sosial media yang mempunyai jumlah pengikut lebih ramai berbanding Ronaldo dan ia adalah akaun Instagram sendiri dengan 397 juta pengikut.

Penyanyi terkenal, Ariana Grande pula mempunyai 244 juta pengikut manakala Kylie Jenner dengan 241 juta pengikut.

Ronaldo masih belum memuat naik status terbaru kejayaannya itu selepas melakukannya ketika meraikan kejayaan meraih 200 juta pengikut pada Januari 2020.

Jumlah pengikut yang cukup ramai itu bermakna Ronaldo berpotensi meraih pendapatan £780,000 (RM4.4 juta) untuk setiap hantarannya, menurut laporan daripada HopperHQ.

Pengaruh Ronaldo dibuktikan lagi minggu ini apabila dia mengalihkan botol Coca-Cola pada sidang media di Euro 2020.

Tindakan Ronaldo itu menyebabkan nilai pasaran Coca-Cola mengalami kerugian AS$4 bilion (RM16.5 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 8:23 AM