THORGAN (kanan) dan Eden ternyata menjadi sandaran di bahagian sayap skuad Belgium kendalian Roberto Martinez. FOTO AFP
THORGAN (kanan) dan Eden ternyata menjadi sandaran di bahagian sayap skuad Belgium kendalian Roberto Martinez. FOTO AFP
Agensi

Copenhagen: Penampilan pemain adik-beradik bukan hanya mencuri tumpuan ramai malah kehadiran mereka cukup memberi sumbangan besar dalam pasukan.

Gandingan tonggak Belgium, Eden dan adiknya Thorgan Hazard antara pemain yang memberi sumbangan besar dalam pasukan di ranking nombor satu dunia itu malah mereka turut beraksi pada saingan Kejohanan Eropah kali ini.

Thorgan dan Eden ternyata menjadi sandaran di bahagian sayap skuad Belgium kendalian Roberto Martinez.

Berbeza dengan nasib abangnya Eden yang diletakkan dalam senarai pemain simpanan sebelum bintang Real Madrid itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.

Thorgan sebaliknya menyinar selepas berjaya meledak gol penyamaan selepas Belgium dikejutkan dengan gol awal Yussuf Poulsen selepas satu minit dan 39 saat permainan.

Belgium bagaimanapun berjaya mencatat kemenangan kedua peringkat kumpulan B apabila Kevin De Bruyne menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Denmark, 2-1 sekali gus layak ke pusingan kalah mati 2020.

Mereka sebelum ini menewaskan Russia 3-0 dan akan berdepan Finland pada awal pagi Selasa.

Turut mencuri tumpuan pada saingan Euro 2020 gandingan Stefan dan adiknya, Milan Ristovski yang beraksi bersama pasukan Macedonia Utara.

Bagaimanapun, usaha Macedonia Utara untuk melakar kejutan pada kejohanan kali ini tampak tidak kesampaian selepas tewas dalam dua aksi lalu dan akan berdepan Belanda pada perlawanan terakhir kumpulan C tengah malam Isnin ini.

Sebelum ini saingan kejohanan Eropah turut dimeriahkan dengan penampilan legenda bola sepak negara masing-masing antaranya bagi pasukan England membabitkan penampilan Jack dan adiknya Bobby Charlton pada Euro 1968 selain Gary bersama adiknya Phil Neville pada Euro 1996 serta 2000.

Belanda pula menampilkan kelibat legenda Erwin dan adiknya Ronald Koeman pada Euro 1988 serta Ronald dan adiknya Frank De Boer (adik) di Euro 2000.

Sementara, legenda Denmark, Michael bersama adiknya Brian Laudrup turut membantu pasukan mereka pada saingan Euro 1996.

Selain gandingan Mbo dan adiknya Emile Mpenza pada Euro 2000 buat pasukan Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 6:30 AM