SHAQIRI sedar Itali lebih cemerlang di bawah kendalian Mancini. FOTO AFP
SHAQIRI sedar Itali lebih cemerlang di bawah kendalian Mancini. FOTO AFP
AFP

Rom: Pemain Switzerland, Xherdan Shaqiri memuji bekas jurulatihnya di Inter Milan, Roberto Mancini yang berjaya mengubah pasukan Itali menjadi salah satu pencabar kejuaraan Euro 2020.

Switzerland terikat 1-1 dengan Wales dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Baku dan awal pagi esok berdepan Itali yang mengalahkan Turki 3-0 di Rom.

"Saya tidak sabar untuk beraksi di perlawanan ini, tidak sabar untuk melihat Roberto sekali lagi esok. Beliau seorang yang hebat dan jurulatih cemerlang.

"Itali adalah pasukan yang bagus, berada di antara pasukan pilihan. Pasukan mereka sangat seimbang, baik di bahagian serangan mahupun pertahanan.

"Mereka adalah pasukan yang hebat beraksi dengan baik bersama-sama. Tidak ada pemain bintang selepas era Andrea Pirlo namun Mancini berjaya melakukan tugas dengan baik.

"Itali sangat berjaya disebabkan perkara itu. Mereka berjaya membentuk pasukan mantap," kata pemain Liverpool itu yang beraksi di Inter enam tahun lalu.

Switzerland akan berdepan menentang Itali yang tidak melepaskan sebarang gol dalam sembilan kemenangan berturut-turut.

Bagaimanapun, Shaqiri sedar Itali akan terus melancarkan serangan dan bukan lagi bermain secara bertahan seperti dulu apabila menjaringkan gol lebih daripada dua ketika menentang Turki.

"Saya membayangkan Itali akan melakukan asakan bertubi-tubi. Mereka bukan seperti Itali yang dulu iaitu lebih cenderung bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 8:49 AM