PENJAGA gol Denmark, Kasper Schmeichel pada sesi latihan di Helsingor di utara Copenhagen, hari ini. FOTO AFP
PENJAGA gol Denmark, Kasper Schmeichel pada sesi latihan di Helsingor di utara Copenhagen, hari ini. FOTO AFP
AFP

Helsingor, Denmark: Penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel dan penyerang, Martin Braithwaite hari ini meratapi situasi mereka terpaksa memilih untuk menyambung semula perlawanan menentang Finland pada aksi Euro 2020, Sabtu lalu, selepas Christian Eriksen rebah di padang.

"Kami berada dalam satu situasi yang saya secara peribadi fikir kami tidak patut menghadapinya," kata Schmeichel kepada media Denmark pada sidang media di Helsingor yang terletak di utara Copenhagen.

"Kami ada dua pilihan," kata Schmeichel. "Sama ada kami menyambung semula perlawanan itu atau turun ke padang pada petang esoknya (Ahad)."

Penjaga gol Leicester City itu berkata, dia mengharapkan seseorang yang lebih senior berkata: "Ini bukan masa sesuai untuk membuat keputusan itu, mungkin kita perlu menunggu sehingga esok sebelum membuat keputusan."

"Apa yang berlaku, sudah berlaku dan diharapkan mereka dapat belajar sesuatu daripada kejadian ini," kata Schmeichel sambil memuji mereka yang dianggap hero sebenar perlawanan itu iaitu pasukan perubatan yang menyelamatkan nyawa Eriksen.

Penyerang Barcelona, Martin Braithwaite berkata: "Pemain mengharapkan pilihan ketiga kerana kami tidak mahu bermain," sambil menyatakan menyambung semula perlawanan bukan tindakan diimpikan mereka.

"Ia adalah satu daripada kemungkinan yang kami ada dan kami disuruh membuat keputusan," kata Braithwaite.

Komen itu muncul kali pertama disuarakan rakan sepasukannya kepada media selepas Eriksen rebah akibat jantung terhenti pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Kesatuan Bola Sepak Belanda (DFU), Jakon Hoyer berkata, Eriksen' berada dalam keadaan baik dan stabil serta masih dirawat di hospital.

Pemain berpeluang bercakap dengan Eriksen melalui panggilan video, semalam dan Schmeichel turut melawatnya di hospital.

"Dia menyatakan kami sepatutnya memandang ke depan untuk perlawanan Khamis ini menentang Belgium. Ia memberi makna besar," kata pemain tengah, Pierre-Emile Hojbjerg, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika tewas 0-1 kepada Finland selepas perlawanan disambung semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 8:14 PM