PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen (kiri) beraksi cemerlang sebelum rebah pada perlawanan menentang Finland, semalam. FOTO EPA
PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen (kiri) beraksi cemerlang sebelum rebah pada perlawanan menentang Finland, semalam. FOTO EPA
AFP

Milan: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen tidak menunjukkan tanda mengalami masalah kesihatan, kata doktor pasukan Inter Milan, hari ini, selepas pemain tengah itu rebah di padang di Copenhagen.

Eriksen, 29, masih dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil serta menjalani pemeriksaan lanjut selepas rebah pada hujung aksi babak pertama Euro 2020 menentang Finland, semalam.

"Kami menghadapi saat sukar, bukan saja saya, malah seluruh famili dalam kelab kami," kata Piero Volpi kepada Gazzetta Dello Sport.

"Dalam beberapa hari lagi, dia akan menjalani ujian penuh lebih mendalam.

"Perkara paling penting adalah dia sihat. Tetapi, tiada langsung tanda menunjukkan dia mengalami masalah kesihatan ketika dia bersama Tottenham atau Inter. Di Itali, kawalannya memang ketat."

Bintang Inter Milan itu rebah pada minit ke-43 perlawanan dan terbaring sebelum pasukan perubatan melakukan CPR.

Dia terbaring kira-kira 15 minit sebelum diusung dengan pengusung ke luar padang dan dikejarkan ke hospital.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter, Giuseppe Marotta berkata, Eriksen ada menghantar pesanan dalam ruangan sembang pasukannya untuk menyakinkan mereka dengan menyatakan "Saya sihat, saya harap dapat kembali secepat mungkin."

"Perkara yang buruk membayangi sesuatu yang dramatik, tetapi nasib baik dan terima kasih bukan sahaja kepada doktor," kata Marotta.

"Terima kasih kepada semua, pasukan lawan dan kawan kerana mereka dekat dengan kami. Dia tidak dijangkiti Covid-19 dan tidak diberikan vaksin, kami tidak mahu mendesak dan hak pemain untuk bertenang.

"Dia adalah juara, kami mahu bersamanya untuk tempoh lama dan berharap dia dapat menyelesaikan masalah kesihatannya ini."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 10:04 PM