KUZYAEV dan  Castagne terbaring selepas berlaga. FOTO AFP
KUZYAEV dan Castagne terbaring selepas berlaga. FOTO AFP
AFP

Saint Petersburg: Pertahanan Belgium, Timothy Castagne yang mengalami kecederaan retak di muka ketika pasukannya menewaskan Russia 3-0 di Euro 2020 terpaksa melupakan baki saingan kejohanan, menurut jurulatih Roberto Martinez.

Pertahanan Leicester itu berlaga kepala dengan pemain Russia, Daler Kuzyaev pada minit ke-26. Dia digantikan dengan Thomas Meunier yang kemudiannya menjaringkan satu gol dan mencipta bantuan jaringan.

Pemeriksaan lanjut di hospital mendapati Castagne mengalami kecederaan berganda di soket matanya, menurut Martinez.

Euro 2020 adalah kejohanan utama pertama buat pemain berusia 25 tahun itu.

Tetapi Martinez berkata kecederaan buku lali pertahanan tengah Jan Vertonghen yang terpaksa dikeluarkan kurang serius.

"Saya tersadung di atas padang,'' kata pemain Benfica Vertonghen. "Saya mempunyai sejarah kecederaan buku lali, jadi itu sebabnya saya selalu membalut kaki saya. Ia akan baik.''

Belgium juga beraksi tanpa perancang Manchester City, Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaaan pada final Liga Juara-Juara dan pemain tengah Borussia Dortmund, Axel Witsel ketika menewaskan Russia di Saint Petersburg.

Belgium yang menduduki ranking teratas dunia akan menentang Denmark di Copenhagen Khamis ini sebelum menutup kempen Kumpulan B menentang Finland di Saint Petersburg pada 21 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 7:39 AM