Pemain Terengganu FC meraikan bersama rakan sepasukannya ketika saingan Liga Super. FOTO File NSTP
Pemain Terengganu FC meraikan bersama rakan sepasukannya ketika saingan Liga Super. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Terengganu FC (TFC) masih memiliki talian hayat untuk beraksi di saingan Piala AFC musim ini seandainya dua kelab yang layak secara automatik ke peringkat Kumpulan I iaitu dari Kemboja ataupun Timor Leste mengemukakan permohonan untuk menjadi tuan rumah.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, pihaknya menerusi Jawatankuasa Pertandingan memutuskan untuk membatalkan aksi playoff Piala AFC membabitkan wakil dari Kemboja, Visakha FC dan wakil Timor Leste, Lalenok United FC dengan kedua-dua pasukan layak terus ke peringkat kumpulan I yang turut diisi TFC dan Geylang International dari Singapura.

Keputusan itu susulan kejayaan kelab dari Filipina, Kaya FC-Iloilo yang berjaya melepasi peringkat playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas menewaskan kelab China, Shanghai Port untuk layak ke saingan sebenar dan diletakkan dalam Kumpulan F bersama Ulsan Hyundai (Korea Selatan), BG Pathum United (Thailand) dan Viettel (Vietnam).

Katanya, AFC tidak boleh membiarkan Kumpulan I dalam saingan Piala AFC hanya diisi dua pasukan dan oleh sebab itu Visakha FC dan Lalenok United FC diumumkan secara rasmi layak ke peringkat seterusnya.

Malah, kedua-dua negara terbabit turut ditawarkan untuk menjadi tuan rumah bagi peringkat kumpulan itu dengan tempoh akhir untuk mengesahkannya adalah petang esok.

"Kita umum kelab berkenaan kerana kita tak boleh biarkan kosong dan ia harus diisi untuk melengkapkan kumpulan itu. Sekarang dah ada empat pasukan, dan mana tahu Kemboja atau Timor Leste berminat nak jadi tuan rumah.

"Sebelum ini mereka perlu main di playoff tapi selepas layak ke peringkat kumpulan, mana tahu motivasi mereka naik untuk jadi tuan rumah.

"Siapa tahu ia boleh berlaku, dan kalau mereka berminat aksi Kumpulan I akan diteruskan mengikut jadual asal. Sebab itu saya dalam kenyataan media kita semalam, saya sebut kita akan buat pengumuman rasmi pembatalan Piala AFC untuk Kumpulan D, G, H dan I pada hari Rabu.

"Jadi petang esok adalah hari terakhir buat Kemboja dan Timor Leste untuk buat keputusan. Jika tidak ada, kita akan batalkan perlawanan untuk pasukan-pasukan dari kumpulan D, G, H dan I," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Semalam, dilaporkan AFC sudah membatalkan perlawanan peringkat kumpulan membabitkan pasukan dari Zon Timur selepas ketiadaan negara yang mahu menawarkan diri menganjurkannya.

Paling terkesan sudah pastinya dua wakil negara iaitu Kedah Darul Aman FC dan TFC yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan kedua tertinggi kelab-kelab Asia itu.

Sebaliknya situasi itu tidak berlaku di Zon Barat membabitkan kelab-kelab dari negara teluk apabila kesemua saingan di kumpulan sudah berakhir dan hanya menunggu pusingan kedua.

"Jika Kemboja atau Timor Leste mahu jadi tuan rumah, maknanya Kumpulan I akan kekal bersaing manakala tiga kumpulan lain iaitu D, G dan H akan dibatalkan. Pemenang keseluruhan dari Zon Timur akan menentang pemenang keseluruhan Zon Barat untuk tentukan juara nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 3:08 PM