PEMAIN import baharu TFC, Habib (tengah) sudah menjalani latihan bersama pasukan itu. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN import baharu TFC, Habib (tengah) sudah menjalani latihan bersama pasukan itu. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kehadiran pemain import baharu dari Bahrain, Habib Haroon dilihat mampu memberikan impak yang positif buat pasukan Terengganu FC (TFC) menjelang saingan Piala AFC dan baki Liga Super musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh percaya bekas pemain tengah kelab Al Khalidiya SC dalam Liga Bahrain itu adalah pilihan tepat untuk memperkasakan lagi pasukan.

Bagaimanapun beliau tidak menganggap kehadiran Habib sebagai 'anak emas' pasukan, sebaliknya beliau menegaskan pemain berusia 21 tahun itu perlu bekerja lebih keras jika mahu berada dalam kesebelasan utama skuad itu.

Katanya ini kerana TFC Sdn Bhd mempunyai sembilan tenaga import termasuk empat daripada pasukan feeder club Terengganu FC II (TFC II) sekali gus memberikan pilihan luas kepada jurulatih untuk menukar pemain pada bila-bila masa mengikut perancangan dan prestasi semasa pemain.

"Saya yakin barisan jurulatih yang diketuai Nafuzi Zain sudah membuat pilihan yang tepat untuk mengambil Habib berdasarkan analisis yang mendalam terhadap pemain itu bagi melengkapkan corak permainan pasukan yang diterjemahkan olehnya.

"Selepas melengkapkan proses kuarantin selama 14 hari dan setibanya di Terengganu pada Ahad lalu, Habib dikehendaki mematuhi peraturan dalam camp base training bersama pasukan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Nerus sebelum memulakan latihan. Alhamdulillah pemain itu sudah berlatih sejak kelmarin dan kini dalam proses penyesuaian diri dengan rakan sepasukannya," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Ketika ditanya mengenai pemain import TFC II, Dechi Marcel yang kini beraksi bersama pasukan TFC, beliau menegaskan pemain kelahiran Ivory Coast itu belum pasti sama ada akan menyarung jersi pasukan TFC II ataupun terus kekal bersama skuad kendalian Nafuzi itu.

"Marcell didaftar dengan pasukan TFC II, bagaimanapun keputusan sama pemain itu kekal beraksi dengan pasukan TFC ataupun sebaliknya tertakluk kepada perancangan ketua jurulatih mengikut kesesuaian pemain berdasarkan kecederaan, penggantungan permainan dan juga prestasi.

"Namun kita bertuah dengan adanya pasukan pembangunan itu, ia memberi peluang yang lebih besar kepada ketua jurulatih membuat pilihan pemain berdasarkan corak permainan yang diterapkan," katanya.

Selain Habib yang menjadi pemain terakhir menyarung jersi TFC, empat lagi tonggak import skuad Penyu itu terdiri daripada pemain kacukan England-Malaysia, Lee Tuck, Makan Konate (Mali), David Da Silva (Brazil) dan Carli De Murga (Filipina).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 2:18 PM