ZAQUAN Adha Abd Radzak antara pemain NSFC yang sudah mengambil dos pertama vaksin Covid-19. FOTO Ihsan MFL
ZAQUAN Adha Abd Radzak antara pemain NSFC yang sudah mengambil dos pertama vaksin Covid-19. FOTO Ihsan MFL
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Demi mewujudkan persekitaran Liga Malaysia yang lebih selamat, Negeri Sembilan Football Club (NSFC) juga menjadi antara pasukan terbaharu yang mengambil dos pertama vaksin pada 10 Jun lalu.

Menurut Pengurus Besar NSFC, Firdaus Bhari, seramai 33 orang yang terdiri daripada 25 pemain dan lapan pegawai pasukan sudah mengambil vaksin jenis Sinovac dan akan melengkapkan dos kedua pada 1 Julai ini.

Tambahnya, beliau dan pihak pengurusan lain berasa lega dengan pengambilan vaksin itu yang turut dibantu di bawah program vaksinasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana memberikan perlindungan tambahan kepada pemain sebelum sepak mula Liga Perdana, 3 Julai depan.

"Pihak NSFC ingin mengucapkan terima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) serta MFL yang membantu kami mendapatkan dos pertama Sinovac pada 10 Jun lalu.

"Kami akan mengambil dos kedua pada 1 Julai ini iaitu dua hari sebelum kami membuat sepak mula saingan Liga Perdana bertemu Selangor 2 maka sememangnya satu kebetulan yang baik kerana semua pemain lengkap mengambil vaksin pada tempoh berkenaan.

"Walaupun begitu, pengambilan vaksin bukanlah tiket buat kami akan mengambil ringan terhadap pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang sudah ditetapkan.

"Mengambil vaksin hanya langkah pencegahan kerana peluang untuk mendapat jangkitan Covid-19 tetap ada, jadi kami akan terus mengekalkan disiplin semasa camp based training dengan tidak memberikan akses kebenaran kepada pemain atau pegawai berjumpa dengan pihak luar, " katanya.

Pemain dan pegawai NSFC buat masa ini sudah mengadakan latihan secara Camp Based Training dengan menginap di salah sebuah hotel di Seremban 2 selain kekal mengadakan latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Padang Sintetik PBNS.

Sebelum ini, Sri Pahang juga menjadi antara pasukan yang mengambil dos pertama vaksin dan akan melengkapkan dos kedua pada 25 Jun ini selain terdapat beberapa pasukan lain seperti Sabah FC, Perak FC, Perak II dan Skuad Projek FAM/MSN.

Dalam masa sama, Firdaus berkata, beliau berharap lebih banyak pasukan akan turut bersama-sama mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan terbaik bagi memastikan Liga Malaysia dapat berjalan seperti dirancang.

"Liga kita sentiasa dinantikan oleh ramai pihak kerana bola sepak adalah sukan yang paling popular di negara, cuma saya harap tidak akan ada jangkitan Covid-19 yang serius membabitkan pemain atau pegawai apabila semua sudah mengambil vaksin.

"Saya bukan sahaja mahu menasihatkan pasukan saya tetapi pasukan lain agar kita sama-sama memastikan pengorbanan tidak berjumpa serta berjauhan daripada ahli keluarga adalah berbaloi serta memastikan liga kita dapat berjalan seperti dirancang, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 10:45 PM