Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sesi latihan pasukan Liga Malaysia (Liga M) diperketatkan lagi dengan mereka hanya dibenarkan menjalani latihan menerusi kaedah 'Camp Based Training' atau latihan secara berpusat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah itu dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang semakin serius di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kaedah 'Home Based Training' tidak lagi diguna pakai untuk pasukan yang berada dalam PKP di mana mereka dikehendaki mematuhi latihan secara berpusat sahaja selepas MFL mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM semalam.

Katanya, gelembung sukan yang dipratikkan pasukan Liga Malaysia sejak 15 Februari lalu akan 'pecah' sekiranya mana-mana kelab yang berada dalam kawasan PKP menjalani sesi latihan secara 'Home Based Training.'

"MFL dengan kerjasama beberapa agensi pihak kerajaan memahami dengan keadaan semasa Covid-19 dan bersetuju untuk memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang penganjuran Liga Malaysia musim 2021.

"Justeru, pasukan yang berada di dalam kawasan PKP hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara berpusat sahaja buat masa ini dan mereka tidak dibenarkan menggunapakai kaedah 'Home Based Training'.

"SOP iaitu pegawai dan pemain pasukan hendaklah menjalani Ujian Calitan PCR sebelum mengadakan latihan diperketatkan lagi di mana pasukan dikehendaki mengemukakan pelan latihan, keselamatan dan ujian PCR selain mereka turut dikehendaki menamakan venue latihan dan penginapan kepada MFL.

"Latihan secara berpusat boleh bermula pada bila-bila masa sebaik pasukan memohon kepada MFL di mana MFL akan memaklumkan permohonan pasukan kepada KBS," katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani turut menjelaskan perkembangan pasukan yang berada dalam negeri Sabah dan Sarawak termasuk Kedah.

"Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa di Sabah dan Sabah FC dibenarkan menjalani sesi latihan secara 'Home Based Training'.

"Bagaimanapun, bagi Sarawak United FC dan Sarawak FC, mereka dituntut menjalani sesi latihan secara berpusat selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan diadakan biarpun status mereka hanya PKPB.

"Kedah Darul Aman (KDA) perlu keluar dari kawasan mereka sebagaimana Kota Setar masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan menjalani sesi latihan secara berpusat di kawasan PKP atau PKPB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 9:42 PM