Pemain Import Terengganu FC, Dominique Da Sylva (dua kiri) dalam salah satu aksi Liga M. FOTO File NSTP
Pemain Import Terengganu FC, Dominique Da Sylva (dua kiri) dalam salah satu aksi Liga M. FOTO File NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengesahkan semua lima pemain import TFC musim ini tidak lagi bersama pasukan itu musim depan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC selepas kontrak mereka tidak disambung.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Sabri Abas menjelaskan pemain berkenaan tidak lagi bersama pasukan TFC musim depan walaupun pasukan masih memerlukan khidmat dua daripada pemain berkenaan.

Katanya, semua pemain sudah dipanggil berbincang dan mereka bersetuju biarpun pemain berkenaan juga masih lagi berminat untuk menyarung jersi pasukan TFC.

"Ya kita sudah membuat keputusan tidak menyambung kontrak lima pemain import berkenaan bagi menghadapi saingan Liga M dan Piala AFC musim depan.

"Keputusan ini dibuat selepas perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan dan juga jurulatih berhubung perkara itu. Sebab utama kontrak mereka tidak disambung adalah mengenai perancangan pasukan dan juga faktor kewangan.

"Berkenaan bekas kapten, Lee Tuck dan pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov yang dilepaskan, sebenar kita masih lagi berminat untuk mendapatkan khidmat mereka, tapi disebabkan kekangan kewangan kita terpaksa melepaskan mereka.

"Ini kerana musim depan kita menyasarkan penjimatan perbelanjaan antara 20 hingga 30 peratus, sebab itu kita perlu mengambil pemain berdasarkan kemampuan kewangan kita bagi mengelak masalah lain timbul," katanya.

Dengan pengumuman itu bermakna pemain kelahiran Uzbekistan, Shaakhmedov dan pemain Senegal, Babacar Diallo mengikut jejak tiga pemain iaitu Tuck, pemain kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli dan pemain Mauritania, Dominique Da Sylva yang tidak disambung kontrak.

Sekalipun ada dalam kalangan pemain berkenaan memperagakan aksi terbaik sepanjang musim ini.

Difahamkan Tuck bakal diikat pasukan Pahang selama dua musim, Shaakhmedov pula menerima tawaran daripada kelab di Korea Selatan manakala hala tuju tiga lagi pemain import masih belum pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 11:30 AM