AMRI Yahyah meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Mohd Adam Arinin
AMRI Yahyah meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto akui beliau silap membuat percaturan ketika babak pertama aksi Liga Super bertemu Perak FC, di Stadium Likas, semalam.

Bagaimanapun, katanya, beliau lega apabila pertukaran pemain dan taktikal yang dibuat pada separuh masa kedua membuahkan hasil sehingga mereka berjaya memperolehi kemenangan walaupun ketinggalan, sebelum itu.

''Memang ada berlaku kesilapan percaturan yang menyebabkan pihak lawan berjaya mengambil kesempatan untuk mengelirukan pemain kami.

''Bagaimanapun ketika babak kedua, strategi pasukan ditambah baik dengan kemasukan (Levy) Madinda dan seorang lagi pemain import, Sam Johnson untuk memantapkan bahagian tengah dengan dibantu bahagian serangan lain iaitu Mohd Amri (Yahya), Saddil (Ramdani) dan Maxsius (Musa),'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, semalam.

Dalam aksi semalam, Sabah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-64 selepas ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama.

Gol pertama Sabah dijaringkan penyerang, Amri hasil rembatan kaki kiri sebelum disusuli gol kedua pada minit ke-78 hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti yang disempurnakan Madinda.

"Kita mahu tiga pemain ini di hadapan kerana Amri, Saddil dan Maxius memiliki ketangkasan dan kita mahu melakukan cubaan bola-bola yang terlepas.

"Kita juga memang sudah siapkan Sam dan Madinda di separuh masa kedua kerana ketika mereka (Perak) penat kita akan gunakan kelebihan daripada dua pemain import ini...Alhamdulillah, bukan kerana strategi yang bagus tetapi kerana memang kerja keras pemain," katanya.

Sementara itu, Kurniawan berkata kemenangan ke atas Perak FC, semalam, dianggap satu hadiah kepada pemain tengah, Mohd Azzizan Nordin yang baru mendapat cahaya mata perempuan sebelum aksi semalam.

Pengendali dari Indonesia itu berkata, sebagai sebuah pasukan yang dianggapnya satu keluarga, mereka harus memberikan hadiah kepada Azzizan sempena hari beliau menjadi seorang bapa.

"Ketika di bilik persalinan sebelum separuh masa pertama tadi, saya sampaikan kepada pemain bahawa kita membina pasukan ini dengan rasa kekeluargaan.

"Hari ini (semalam), Azzizan baharu menjadi seorang bapa kerana kelahiran puterinya. Saya katakan, kalau kalian (kamu) ada rasa persaudaraan, berikan hadiah terbaik kepada Azzizan dan alhamdulillah kita menang perlawanan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 3:08 PM