Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani (tengah) mengawal bola ketika menentang UiTM FC dalam saingan Liga Super. FOTO Mohd Adam Arinin
Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani (tengah) mengawal bola ketika menentang UiTM FC dalam saingan Liga Super. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Hasrat Sabah Football Club (FC) untuk mengutip mata penuh di gelanggang sendiri, malam ini, tercapai apabila mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas UiTM FC di Stadium Likas, hari ini.

Babak pertama perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah menguasai hampir keseluruhan permainan dengan beberapa serangan bahaya manakala UiTM FC pula langsung tidak memiliki sebarang cubaan tepat ke arah pintu gol.

Sabah FC memiliki peluang pertama mereka pada minit ke-8 hasil sepakan sudut Levy Clement Madinda, namun, tandukan Sam Johnson selepas itu hanya sedikit tersasar.

Penyerang dari Liberia itu kemudian sekali lagi mencemaskan pintu gol UiTM FC pada minit ke-18 namun tandukannya kali ini hasil hantaran Alto Linus berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Dominic Picak.

Pada minit ke-28, Johnson tidak lagi kecewa apabila akhirnya mencetak gol selepas menyambar bola muntah dari penjaga gol yang sebelum itu menyelamatkan cubaan menerusi tandukan Mohd Amri Yahyah bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pemain import Sabah dari Indonesia, Saddil Ramdani kemudian menambah jaringan buat Sang Badak pada minit ke-41 hasil rembatan kaki kiri kencang yang terbias kepada pertahanan lawan sebelum bola menerjah jaring UiTM FC bagi menjadikan kedudukan 2-0 dan ianya kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Sabah FC hanya memerlukan empat minit untuk menjadikan kedudukan 3-0 hasil gerakan satu dua menarik antara Park Taesu dan Saddil yang kemudiannya disudahkan dengan baik oleh Park.

Walaupun ketinggalan tiga gol, UiTM FC sekali sekala berjaya mencemaskan kubu Sabah FC termasuk satu cubaan jarak jauh pada minit ke-57 oleh Muhamad Afif Asyraf Zawawi yang memaksa penjaga gol lawan, Robson Rendy Rining menolak bola keluar.

Pasukan tuan rumah pula hampir menambah jaringan pada minit ke-61 menerusi pemain gantian Mohd Azzizan Nordin yang menerima hantaran Amri, bagaimanapun, penjaga gol lawan pantas bertindak sebelum Azzizan sempat melepaskan rembatan.

Pada minit ke-72, seorang lagi pemain gantian, Maxsius Musa, melakukan sepakan percuma cantik dari luar kotak penalti sehingga memaksa penjaga gol lawan melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Peluang terbaik UiTM FC hadir pada minit ke-74 hasil sepakan percuma Afif namun cubaannya dari jarak 15 meter di luar kotak penalti itu berjaya ditepis keluar oleh Robson.

Sepakan sudut untuk UiTM FC selepas itu juga mengecewakan mereka apabila Robson sekali lagi menjadi penyelamat dengan menyelamatkan dua cubaan berturut-turut pasukan lawan.

Pada minit ke-86, seorang lagi pemain gantian, Bobby Gonzalez melengkapkan kemenangan bergaya Sabah FC apabila menyudahkan hantaran ke belakang Saddil bagi menjadikan kedudukan 4-0 dan ianya kekal sehingga pengadil perlawanan, Fitri Maskon meniupkan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 11:47 PM