RENAN Da Silva  diasak  pemain JDT. FOTO Bernama
RENAN Da Silva diasak pemain JDT. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk memintas pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim FC (JDT) tidak menjadi kenyataan apabila tewas tipis 0-1 kepada skuad Harimau Selatan di Stadium Darul Aman malam ini.

Tindakan pertahanan tuan rumah, Renan Alves yang mengasari Mohamadou Sumareh menyebabkan mereka dihukum ketika permainan berbaki empat minit.

Bergson da Silva tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk membolehkan JDT terus gah di persada liga.

Pada awal babak pertama, tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan kubu pelawat apabila percubaan Rabih Ataya yang mendapat hantaran silang Kpah Sherman terkena tiang.

Kedah hampir mendapat gol pendahuluan melalui tandukan Sherman hasil sepakan percuma Ataya namun percubaan itu 'singgah' di palang gol JDT lima minit sebelum rehat.

Bermula babak kedua, JDT terus garang namun tandukan Bergson ditepis penjaga gol Kedah, Shahril Sa'ari pada minit ke-50.

JDT terpaksa memasukkan pemain sayap, Arif Aiman bagi menggantikan Gonzalo Cabrera yang mengalami kecederaan pada minit ke-56.

Ketika perlawanan seakan berakhir tanpa jaringan, sepakan penalti disempurnakan Bergson memastikan JDT pulang dengan mata penuh sekali gus mengelak daripada keciciran mata dalam tiga perlawanan berturut turut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 12:32 AM