SKUAD Projek FAM-MSN kutip satu mata selepas tujuh perlawanan.
SKUAD Projek FAM-MSN kutip satu mata selepas tujuh perlawanan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selepas tewas enam perlawanan, skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN) akhirnya meraih mata pertama apabila seri 2-2 menentang Kuching City FC di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

Jelas sekali kritikan dilempar ke atas pasukan kendalian Yusri Che Lah tidak mematahkan semangat mereka untuk terus bersaing dan ternyata perlawanan menentang Kuching City FC menjadi platform kebangkitan skuad terbabit.

Kuching City FC yang turut dibarisi pemain berpengalaman terlebih dahulu berada di depan menerusi tonggak importnya Yuta Suzuki seawal minit 10.

Skuad ubi muda tidak mudah mengaku kalah malah mereka menggandakan asakan sebelum berjaya mencipta gol penyamaan menerusi Safwan Mazlan pada minit 24.

Separuh masa kedua menyaksikan kealpaan benteng pertahanan skuad Projek FAM-MSN dihukum dengan gol kedua Kuching City FC menerusi Alif Hassan pada minit 59.

Namun, ternyata skuad ubi muda yang rata-rata dibarisi pemain berusia 18 hingga 20 tahun tidak mahu pulang hampa apabila berjaya menyumbat gol penyamaan sembilan minit sebelum tamat perlawanan menerusi Farris Izdiham untuk mengikat kedudukan seri 2-2.

Perlawanan berkesudahan seri 2-2 sekali gus menyaksikan akhirnya skuad Projek FAM-MSN berjaya 'pecah telur' dengan memungut satu mata selepas tujuh perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 11:56 PM