SKUAD Projek FAM-MSN tewas ketika menentang Negeri Sembilan FC. FOTO Arkib NSTP
SKUAD Projek FAM-MSN tewas ketika menentang Negeri Sembilan FC. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persembahan skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjadi 'lauk' buat pasukan dalam saingan Liga Perdana musim ini langsung tidak mencemaskan FAM.

Sebaliknya, badan induk bola sepak negara itu percaya anak buah Yusri Che Lah bakal meraih pengalaman berguna di samping mampu mematangkan aksi pemain yang ditubuhkan sebagai persediaan untuk beraksi di pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, kritikan sesetengah pihak yang mempersoalkan kewajaran skuad Projek FAM-MSN dibarisi pemain muda berusia 17 hingga 20 tahun itu adalah keterlaluan, sebaliknya penubuhan pasukan berkenaan perlu disokong oleh semua pihak.

Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM, pihaknya tidak menjadikan keputusan perlawanan di saingan divisyen dua itu sebagai penanda aras, tetapi penilaian dibuat berdasarkan prestasi setiap pemain di atas padang.

"Pada saya, itu pandangan individu (kritikan), kenapa mereka ada di sana walaupun peringkat umur baru berusia 17-20 tahun, sebelum ini kita pernah ada Harimau Muda yang berusia 18-22 tahun (yang berjaya cipta impak pada 2011 memenangi pingat emas Sukan Sea 2011) dan pandangan itu hanyalah individu saja.

"Skuad projek ini harus diteruskan dan baik untuk mereka bersaing di peringkat tertinggi dan perkembangan mereka juga akan meningkat. Soal menang atau kalah itu kedua, tapi macam contoh ketika pasukan ini menentang Selangor FC II mereka ketinggalan 0-3, tapi mereka bangkit untuk menjaringkan dua gol sebelum tewas 2-4.

"Itu bermakna mereka inginkan kemenangan, jadi kita tak patut melihat kepada keputusan perlawanan semata-mata walaupun bermain dengan pasukan lebih berusia. Pada saya kita patut menyokong," katanya.

Selepas mengharungi lima aksi, skuad Projek FAM-MSN tewas dalam semua perlawanan dengan kini menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Pasukan itu dibolosi 15 gol dan hanya menjaringkan empat gol dengan kekalahan terbesar adalah di tangan Terengganu FC II 0-4.

Ia disusuli tewas 1-2 kepada Kelantan FC, serta kalah 1-3 dan 0-2 kepada PDRM FC dan Negeri Sembilan FC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 7:05 AM