AHMAD Shapawi (tengah) berkata skuad projek itu akan terus pada saingan Liga M musim depan. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
AHMAD Shapawi (tengah) berkata skuad projek itu akan terus pada saingan Liga M musim depan. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Projek FAM-MSN akan diberikan nafas baharu dengan beberapa ciri penambahbaik akan dilakukan terhadap pasukan terbabit bagi memastikan 'ubi muda' negara itu terus kekal relevan.

Hal ini bermakna, walaupun berlakunya perubahan pada sistem Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan pasukan yang terdiri daripada bekas Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan terus bersaing walaupun mereka menampilkan prestasi kurang memuaskan dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pasukan terbabit akan terus pada saingan Liga M musim depan bagi memberi peluang dan ruang kepada pemain muda kembali menyinar di pentas saingan kompetitif. Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi melakukan beberapa perubahan termasuklah membincangkan mengenai barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan untuk disenaraikan pada musim depan.

"Keputusan sudah dibuat dan akan ada perbincangan lanjut dengan FAM iaitu bagaimana kita mahu olah program yang diterapkan kepada skuad Projek FAM-MSN untuk musim depan.

"Perkara utama pasukan ini adalah bukannya prestasi semata-mata namun kita lebih mahukan pemain terus dibentuk dan bantu mereka sehingga boleh pasarkan diri ke skuad atau negeri lain," katanya.

Mengikut rekod, skuad Projek FAM-MSN ketika ini berada di tangga tercorot Liga Perdana dengan hanya mengutip lapan mata selepas 18 perlawanan liga musim ini.

Julai lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan saingan Liga M akan melalui penstrukturan yang menyaksikan penyertaan 18 pasukan dalam saingan Liga Super manakala Liga Perdana dihentikan sementara bermula musim 2023.

Penstrukturan itu juga menyaksikan saingan Liga Simpanan diperkenalkan mulai musim depan membabitkan semua 18 pasukan Liga Super 2023 yang perlu menyediakan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) masing-masing bagi saingan itu, selain tambahan skuad Projek FAM-MSN sebagai pasukan ke-19.

Ia antara lain bagi menawarkan minit permainan lebih tinggi dan pertambahan jumlah perlawanan kompetitif kepada pemain selain dapat memastikan nilai komersial saingan liga tempatan meningkat sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 3:56 PM