PRESIDEN FAM, Hamidin (tengah) menyampaikan sijil SupaRimau kepada Norizam (dua kanan) sambil disaksikan Yusoff (kiri) di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PRESIDEN FAM, Hamidin (tengah) menyampaikan sijil SupaRimau kepada Norizam (dua kanan) sambil disaksikan Yusoff (kiri) di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyarankan pelajar miskin yang berbakat diberi peluang menyertai latihan di bawah kendalian di akademi bola sepak SupaRimau FAM di seluruh negara dengan khidmat masyarakat terbabit mampu membawa pulangan lumayan pembentukan pemain terbaik negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, bantuan latihan secara percuma bagi menyertai program pada hujung minggu itu antara usaha memastikan mereka yang berminat dan betul-betul berbakat mampu menjalani latihan asas yang didedahkan.

Katanya, program SupaRimau membabitkan program akar umbi yang dilaksanakan FAM membabitkan akademi bola sepak di Malaysia itu jelas menjadi pemangkin kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan untuk diberi peluang.

Beliau berkata demikian ketika lawatan Presiden FAM, Datuk Wira Hamidin Mohd Amin di program akademi akar umbi Kiddo Kickers Melaka dan penyampaian sijil gangsa SupaRimau kepada presiden akademi terbabit, Norizam Ali Hassan di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit hari ini.

Hadir sama pengurusan tertinggi FAM, jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe, ibu bapa serta 120 pemain cilik berusia 8 hingga 12 tahun.

"Jika terdapat pelajar miskin yang tidak mampu boleh memaklumkan kepada kita untuk mereka diberi ruang menyertai program latihan seperti di Kiddo Kickers bagi memastikan bakat yang ada tidak tersekat.

"Usaha berkenaan bagi memastikan terdapat bakat luar biasa yang ada tidak tercicir menampilkan keupayaan mereka untuk menyerlah," katanya yang yakin lebih ramai pemain berwibawa seperti Safawi Rasid dan Luqman Hakim Shamsudin mampu dilahir menerusi program seperti itu kelak.

Yusoff berkata, beliau yakin semua yang terbabit bukan berdasarkan kepentingan dan keuntungan semata-mata sebaliknya atas kesungguhan dan komitmen untuk melihat pembangunan bola sepak negara terus berkembang aktif.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, setakat ini kira-kira 250 akademi di seluruh negara sudah mendaftar menyertai SupaRimau dengan 69 daripadanya sudah mendapat kelulusan.

Beliau berkata, selebihnya dalam proses penelitian kelulusan, namun sasaran adalah memastikan semua akademi atau 1,000 akademi bola sepak di negara ini mendaftar dengan FAM menerusi program terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 6:21 PM