Ronaldo menanggalkan lilitan kapten sebelum membuangnya di padang Stadium Rajko Mitic dekat Belgrade. FOTO AFP
Ronaldo menanggalkan lilitan kapten sebelum membuangnya di padang Stadium Rajko Mitic dekat Belgrade. FOTO AFP
AFP

Belgrade: Lilitan kapten dibuang Cristiano Ronaldo ketika Portugal dinafikan kemenangan lewat permainan pada aksi menentang Serbia dijual pada lelongan kebajikan dengan harga 64,000 Euro (RM312,000) kepada seorang pembeli yang tidak dinyatakan.

Berbaki beberapa saat ketika kelayakan Piala Dunia 2022 berkedudukan 2-2 di Belgrade, Ronaldo merasakan dia sudah menjaringkan gol penting perlawanan apabila bola tampak sudah melepasi garisan tetapi dikeluarkan Stefan Mitrovic.

Tetapi tanpa bantuan teknologi video, gol berkenaan tidak disahkan.

Ronaldo yang berang dilayangkan kad kuning kerana membantah dan selepas wisel penamat, ketika dia keluar dari padang, dia membuang lilitan kapten berkenaan.

Djordje Vukicevic, anggota bomba yang dihantar ke stadium, mengambilnya dan segera menghubungi saluran sukan tempatan dengan idea untuk melelongnya bagi tujuan kebajikan.

Vukicevic memberitahu AFP Selasa lalu bahawa dia bercadang untuk memungut derma bagi rawatan seorang bayi berusia enam bulan, Gavrilo Djurdjevic yang mengalami penyakit ganjil.

Selepas saluran sukan Sportklub mengesahkan ketulenan barangan itu dengan melihat rakaman video dan foto perlawanan, mereka bekerjasama dengan organisasi kebajikan bagi melelong lilitan kapten Ronaldo menerusi laman sesawang Limundo.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 9:47 PM