RONALDO dilaporkan berminat untuk kembali ke Real Madrid. FOTO AFP
RONALDO dilaporkan berminat untuk kembali ke Real Madrid. FOTO AFP
Agensi

London: Harga Cristiano Ronaldo dilaporkan menurun kepada £21.5 juta (RM122 juta) dengan Juventus bersedia untuk menjualnya.

Bintang Portugal itu sedang berusaha untuk kembali bersama Real Madrid.

Menurut laporan, Juventus bersedia untuk menjual Ronaldo dalam usaha kelab itu membentuk semula skuad.

Ronaldo dibeli untuk membantu Juventus memenangi saingan Liga Juara-Juara namun dia gagal membantu kelab itu meraih kejayaan di pentas Eropah.

Pemain berusia 36 tahun itu masih mempunyai baki kontrak selama setahun tetapi Juventus sudah bersedia untuk melepaskannya.

Pengarah Juventus, Fabio Paratici baru-baru ini memberitahu Sky Sports: "Kami ambil keputusan untuk mengekalkan Cristiano Ronaldo. Dia adalah pemain terbaik dunia dan akan terus bersama kami."

Bagaimanapun kelab dilaporkan masih mempertimbangkan untuk menjual Ronaldo, malah pemain berstatus bintang itu dipercayai amat berminat untuk kembali ke Real Madrid.

Ronaldo berhijrah ke Juventus dengan yuran perpindahan £88 juta (RM499.3 juta) pada 2018 dan dia membantu kelab itu meraih kejuaraan liga pada setiap musim.

Bagaimanapun Juventus hanya menduduki tangga ketiga liga pada musim ini dan ketinggalan 10 mata di belakang Inter Milan selaku pendahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 9:52 AM