RONALDO (kiri) dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus. FOTO/AFP
RONALDO (kiri) dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus. FOTO/AFP
AFP

ROME: Spekulasi perpindahan penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo ke Juventus terus menunjukkan tanda positif selepas beberapa laporan menyatakan pemenang lima kali Ballon d’Or itu sudah mengadakan pertemuan dengan jurulatih pasukan itu, Massimiliano Allegri.

“Hello Ronaldo,” itu tajuk utama yang digunakan Gazzetta dello Sport yang melaporkan Allegri sudah menghubungi Ronaldo, semalam sekali gus memberi bayangan perpindahan terbabit berjalan lancar.

La Gazetta turut menyatakan ejen kepada bintang Portugal itu, Jorge Mendes akan berada di Madrid, hari ini bagi mengadakan pertemuan bersama pengarah Real Madrid.

Bagaimanapun pesaing kepada La Gazzetta, Corriere dello Sport menyatakan perjumpaan dengan pengarah itu ditangguhkan bagi memastikan ‘tiada maklumat yang akan didedahkan’ berhubung perpindahan itu.

“Cerita mengenai Cristiano Ronaldo sudah menjadi permainan catur,” kata akhbar itu yang turut menyatakan perpindahan itu mungkin akan dimuktamadkan hari ini.

Namun, terdapat percanggahan mengenai yuran perpindahan selepas Gazetta menyatakan ia membabitkan nilai 120 juta Euro (RM564 juta) sementara Corriere meletakkan nilai perpindahan antara 130 (RM611 juta) ke 150 juta Euro (RM705 juta).

Juventus bersedia untuk menawarkan kontrak empat tahun kepada Ronaldo dengan gaji asas tahunan sebanyak 30 juta Euro. (RM141 juta).

Ronaldo yang menyertai Real pada 2009 mengadu bahawa gaji tahunannya bersama pasukan itu sebanyak 23.6 juta Euro (RM111 juta) adalah terlalu rendah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 10:30 PM