Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bagi memastikan suara peminat bola sepak negara tidak diketepikan begitu saja, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif dengan menubuhkan Pasukan Petugas Presiden yang terdiri daripada individu-individu yang bukan dari persatuan bola sepak negeri.

Penubuhan jawatankuasa baru itu diumumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu bagi penggal 2021-2025 yang berlangsung selama lima jam di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Katanya, menerusi Pasukan Petugas Presiden itu, mereka boleh membantu dari segi idea dan perancangan bagi memajukan bola sepak negara ke tahap membanggakan.

"Antara yang saya umumkan ialah mengenai penubuhan 'Presidential Task Force' yang akan dianggotai oleh individu-individu yang bukan dari persatuan bola sepak negeri.

"Tetapi mampu untuk memberikan sumbangan kepada bola sepak negara dan membantu Presiden FAM, seperti ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penyokong, kerajaan dan kerabat diraja," katanya.

Dalam mesyuarat sama, beliau turut mengumumkan nama pengerusi dan timbalan pengerusi bagi setiap jawatankuasa tetap, jawatankuasa ad-hoc, badan bebas dan badan kehakiman selain nama pengurus pasukan-pasukan kebangsaan yang terdiri daripada 16 ahli-ahli yang memenangi pemilihan Kongres FAM minggu lalu.

Hamidin menegaskan, prestasi semua ahli Jawatankuasa Eksekutif akan dipantau dan dinilai menerusi pengenalan Kad Laporan yang diakuinya mampu meningkatkan prestasi kerja masing-masing.

"Saya menasihati Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang sekarang adalah masa untuk bekerja. Mereka diminta untuk mengutamakan bola sepak melebihi agenda individu dan peribadi kerana mereka dipilih daripada berjuta individu yang ingin berada di sini."

"Jangan mengecewakan rakyat dan peminat bola sepak negara yang mahu melihat hasil atau keputusan daripada semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.

"Untuk itu, kesemua mereka akan dipantau menerusi pengenalan Kad Laporan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang mana saya percaya ia dapat menjadi penanda aras serta mampu meningkatkan lagi prestasi dan kualiti setiap mereka dalam melaksanakan tugas dan portfolio yang dipertanggungjawabkan.

"Saya berharap agar semua yang telah dilantik sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa serta pengurus pasukan-pasukan kebangsaan ini dapat berkhidmat dengan sebaiknya dan memberi sepenuh komitmen mereka demi kebaikan bola sepak Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 2:22 PM