REAKSI Nafuzi pada perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
REAKSI Nafuzi pada perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Itu adalah impian setiap jurulatih untuk membimbing skuad kebangsaan, jika tiba masanya insya-Allah," kata pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain.

Jurulatih muda meningkat naik itu berkata demikian selepas timbul desas-desus mengaitkan beliau bakal dilantik sebagai pengendali baharu skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara bagi menggantikan Brad Maloney yang dilepaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Rabu lalu.

Nafuzi yang bermula sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team pada 2016 sebelum dilantik penolong jurulatih pasukan Terengganu setahun kemudian dan ketua jurulatih TFC pada 2019 bagaimanapun menjelaskan fokusnya kini bersama skuad TFC.

"Buat masa sekarang saya mahu fokus terlebih dahulu bersama TFC, lagipun sekarang saya dalam proses belajar mencari pengalaman, apabila tiba masanya, insya-Allah saya akan terima sebagai jurulatih kebangsaan (B-23).

"Setakat ini belum ada tawaran lagi (bimbing skuad B-23), jika ada tawaran buat masa sekarang saya hanya memikirkan pemain dan barisan kejurulatihan saya," katanya ketika ditemui media selepas berakhir pertemuan Liga Super dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang memihak kepada skuad Penyu 2-1.

Dalam perlawanan itu, bekas penyerang skuad Kenari, Kpah Sherman meledak gol pendahuluan pada babak pertama sebelum pemain import Filipina, Manuel Ott meledak gol kedua TFC pada babak kedua manakala gol saguhati pelawat dijaringkan Azammuddin Akil pada masa kecederaan babak kedua.

Mengulas pertemuan itu, Nafuzi berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya walaupun hampir 'berputih mata' untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri walaupun mendahului 2-0.

"Pasukan Kedah bukan lawan yang mudah, tapi pemain berjaya memperagakan aksi bertenaga untuk kekal bertahan sehingga berakhir perlawanan sebelum melakar kemenangan.

"Namun sedikit kelekaan di penghujung babak kedua memberikan satu gol kepada pelawat dan pemain nampak tertekan, bagaimanapun kita bernasib baik kerana masa hampir tamat ketika lawan mengintai untuk mencari jaringan penyamaan.

"Saya boleh rumuskan kunci kejayaan malam ini (malam tadi) disebabkan pemain berjaya mempamerkan aksi mantap dan bertenaga, saya cuma melakukan persediaan sebelum perlawanan manakala selebihnya aksi mereka di padang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 12:35 PM