PEMAIN tengah Terengganu FC, Habib Haroon (tengah) meraikan jaringan gol pada perlawanan menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, malam tadi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMAIN tengah Terengganu FC, Habib Haroon (tengah) meraikan jaringan gol pada perlawanan menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, malam tadi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Corak sama dan gaya permainan tidak berubah memudahkan tugas pemain Terengganu FC (TFC) apabila mengekalkan rekod tanpa kalah di tangan Selangor FC dalam saingan Liga Super, sejak tiga musim lalu.

Terbaharu, skuad Penyu ceria membawa pulang tiga mata penuh ke Kuala Terengganu selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Jurulatihnya, Nafuzi Zain, berkata kemenangan diraih itu hasil penelitian corak permainan lawan dan mereka hanya menunggu kesilapan bahagian tengah skuad Red Giants untuk meledak jaringan.

"Kita hanya tunggu peluang. Saya pun sudah banyak kali bermain dengan Selangor, jadi saya dah tahu cara Selangor bermain.

"Saya rasa malam ini kita main dengan cermat, jimat tenaga sedikit. Kita hanya tekan di atas, apabila masuk kawasan kita, baru kita tekan.

"Kita nak tekan pemain untuk bermain 'high pressing', kita tidak cukup kuat. Kita tahu Selangor akan datang, bermain secara menyerang dengan pantas," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dua gol Terengganu diraih menerusi Habib Haroon dan Manuel Ott pada minit ke-13 dan 39.

Nafuzi turut memuji komitmen pemain muda yang dimasukkan sebagai tonggak gantian selepas beberapa pemain utama dikeluarkan pada babak kedua ekoran kecederaan.

Beliau dilihat mengeluarkan Faisal Halim dan kapten, Kpah Sherman namun pemain muda berjaya mengisi tempat itu.

"Untuk dua tiga perlawanan sebelum ini Faisal ada masalah demam sedikit dan pada malam ini dia berasa okay sedikit, jadi dia diturunkan.

"Manakala Kpah Sherman pula beritahu dia alami hamstring, jadi saya tidak mahu ambil risiko dan keluarkan kedua-dua mereka. Tapi pemain muda (yang dimasukkan bag menggantikan) bermain baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 2:41 PM