PEMAIN TFC II meraikan jaringan gol pada aksi perlawanan Liga Perdana menentang KUFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC II meraikan jaringan gol pada aksi perlawanan Liga Perdana menentang KUFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFCII) mengekalkan rekod tanpa kalah pusingan pertama Liga Perdana selepas membelasah Kelantan United FC (KUFC) 4-1 pada aksi kesepuluh di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Penyerang import kelahiran Ghana, Jordan Mintah muncul watak pemusnah apabila mencipta hatrik pertamanya musim ini.

Dengan kemenangan itu The Turtles naik tiga anak tangga dengan menghuni di kedudukan ketiga liga dengan mengutip 16 mata manakala KUFC jatuh satu anak tangga di tempat keempat liga.

Dalam aksi itu, skuad The Turtles tidak menunggu lama untuk mendahului pelawat apabila mendapat gol melalui sepakan penalti pada minit keempat yang disudahkan Mintah.

Penalti itu dihadiahkan pengadil, Muhammad Azwan Muhamad Marimuthu selepas Mintah dijatuhkan pertahanan pelawat, Mohamad Hariz Kamarudin ketika pemain itu berada di posisi terbaik untuk menjaringkan gol.

Pada minit ke-31, gawang KUFC bocor lagi juga melalui sepakan penalti Mintah selepas bola terkena tangan Mohamad Hakim Ismail.

Selepas jaringan itu, skuad pelawat diketuai pemain import kelahiran Gambia, Al Fusainey Gassama tampil lebih agresif dengan beberapa percubaan menarik untuk memburu jaringan.

Usaha berterusan skuad bimbingan jurulatih kelahiran Jepun, Akira Higashiyama itu akhirnya berhasil apabila berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-40 melalui tolakan mudah Gassama selepas berlaku pergelutan dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, berbekalkan 18 peminat setia, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali terus menekan lawan untuk menambah jaringan, namun dihampakan ketangkasan penjaga gol, Mohamad Ramadhan Ab Hamid.

Bagaimanapun pada minit ke-55 pertahanan TFC kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic berjaya menambah jaringan skuadnya apabila mudah menanduk masuk sepakan percuma Amirul Syazwan Nor Azmi untuk mengukuhkan kedudukan 3-1.

Pada minit ke-69, Mintah menambah derita pelawat apabila mencipta hatrik dan jaringan ketujuh peribadinya dalam Liga Perdana melalui sepakan lencong menarik dari dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 4-1 hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 12:03 AM