AUBAMEYANG meraikan jaringannya dengan gaya tersendiri. FOTO EPA
AUBAMEYANG meraikan jaringannya dengan gaya tersendiri. FOTO EPA
AFP

London: Pierre-Emerick Aubameyang kembali meledak gol apabila dua jaringannya terus membantu Arsenal memperbaiki kedudukan di Liga Perdana selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Newcastle hari ini.

Gunners bergelut di zon bawahan kira-kira sebulan lalu namun 13 mata yang diraih daripada maksimum 15 mata membantu skuad bimbingan Mikel Arteta menduduki tempat ke-10 dan hanya kurang tujuh mata berbanding empat pasukan teratas.

Di sebalik dua gol sumbangan Aubameyang, gandingan muda Arsenal, Emile Smith Rowe dan Bukayo Saka mencuri tumpuan apabila mempamer aksi meyakinkan dengan Saka menjaringkan gol kedua.

"Apabila kami mencatat kemenangan, mereka membuatkan saya tersenyum," kata Arteta mengenai impak yang diberikan oleh Smith Rowe dan Saka.

"Saya tahu mereka mampu melakukan sesuatu. Aksi yang dipamerkan oleh kedua-duanya sangat luar biasa."

Newcastle kekal bergelut di zon bawahan selepas melalui sembilan perlawanan tanpa mencatat kemenangan di sebalik Steve Bruce melakukan lapan pertukaran.

Newcastle satu-satunya pasukan yang tewas kepada Sheffield United pada aksi Liga Perdana minggu lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang perubahan dipamerkan Magpies yang dilihat kurang bersemangat dan hanya sekali sahaja menguji penjaga gol Arsenal, Bernd Leno.

"Beraksi bertemu Arsenal, Leicester, Liverpool dan Manchester City sentiasa sukar. Kami kecewa kerana terperangkap tidak dapat melakukan serangan.

"Inilah yang perlu kami pelajari dan fahami. Sebab utama kami sentiasa bertahan ialah untuk mengelak daripada situasi menerima ancaman serangan secara tiba-tiba," kata Bruce.

Newcastle masih selesa dengan kelebihan tujuh mata daripada zon penyingkiran namun pasukan di bawah mereka kini mula mempamerkan peningkatan ketika saingan liga masih panjang.

Aksi hambar Aubameyang di depan gol menjadi faktor utama kesukaran Arsenal di bawah bimbingan Arteta yang pada musim penuh pertama membimbing pasukan itu.

Bagaimanapun bintang Gabon itu mempamerkan aksi meyakinkan dengan meledak gol minit ke-50 dan 77 untuk memastikan kemenangan Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:56 AM