AKSI Doucoure menjaringkan gol kedua Everton. FOTO Reuters
AKSI Doucoure menjaringkan gol kedua Everton. FOTO Reuters
AFP

Liverpool: Everton mencipta sensasi apabila menewaskan Newcastle United 3-0 di Goodison Park menerusi tiga gol dalam tempoh 11 minit terakhir untuk membolehkan pasukan yang dipotong 10 mata itu keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dwight McNeil, Abdoulaye Doucoure dan Beto menjaringkan gol sekali gus mengekalkan momentum cemerlang walaupun Toffees terjejas susulan hukuman paling keras dalam sejarah Liga Perdana akibat pelanggaran peraturan kewangan.

Newcastle menerima padah akibat dua kesilapan pemain antarabangsa England Kieran Trippier dan Magpies terus gagal bertahan pada lewat permainan.

McNeil merembat kencang ke penjuru gawang 11 minit sebelum tamat perlawanan sebelum Doucoure menggandakan kelebihan manakala pemain gantian Beto memastikan kemenangan kelima Everton dalam tujuh perlawanan.

Kemenangan itu juga melonjakkan Everton satu mata di atas tiga kelompok pasukan bawahan dan mereka sepatutnya di pertengahan liga jika tidak dipotong mata.

"Musim ini selain dipotong 10 mata, kami berada pada tahap terbaik, " kata pengurus Everton Sean Dych.

Newcastle pula menewaskan Paris Saint-Germain, Arsenal, Chelsea dan Manchester United di tempat sendiri musim ini tetapi skuad Eddie Howe hanya menang sekali di tempat lawan dalam saingan EPL.

Mereka kekal di tangga ketujuh, empat mata di belakang kelompok empat pasukan teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 8:10 AM