MEDIA Brazil mengesahkan Neymar anjur parti dari Hari Krismas hingga Tahun Baru. FOTO AFP
MEDIA Brazil mengesahkan Neymar anjur parti dari Hari Krismas hingga Tahun Baru. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Bintang bola sepak Brazil, Neymar berdepan kontroversi terbaru selepas beberapa media negara berkenaan melaporkan dia menganjurkan parti Tahun Baru terbesar walaupun dihimpit dengan Covid-19 dan peguamnya menafikan perkara berkenaan.

Acelmo Goes, kolumnis untuk akhbar O Globo, menulis bahawa penyerang, Paris Saint Germain (PSG) menjemput 500 tetamu untuk berparti selama seminggu di kediaman mewahnya di Rio de Janeiro bermula Ahad lalu sehingga Tahun Baru.

Neymar, yang tidak asing lagi dengan kontroversi berkenaan dengan parti, dikatakan memasang peralatan kedap bunyi untuk mengelakkan daripada mengganggu jirannya.

Leo Dias, kolumnis di Metropoles turut menamakan artis yang akan membuat persembahan pada parti Neymar seperti Ludmilla dan Wesley Safadao.

Tetamu yang dijemput tidak dibenarkan membawa telefon bimbit dan dirampas ketika di puntus masuk bagi mengelak sebarang bukti tersebar di media sosial.

Brazil mencatatkan kematian kedua tertinggi Covid-19 di dunia dengan lebih 191,000, manakala 7.4 juta dijangkiti virus berkenaan.

Agensi penganjuran majlis keraian, Agencia Fabrica, mengeluarkan kenyataan mengesahkan mereka diberikan kontrak untuk acara Tahun Baharu di wilayah Costa Verde iaitu di kawasan kediaman Neymar 'yang akan menjemput kira-kira 150 orang dan perlu mematuhi peraturan ditetapkan pihak kesihatan awam.'

Bagaimanapun, peguam Neymar menafikan satu parti besar diadakan atau majlis membabitkan Agencia Fabrica berkaitan dengan bintang bola sepak itu.

"Bukan! Ini acara dianjurkan Fabrica. Ia tidak membabitkan Neymar," katanya kepada AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 10:46 AM