NEYMAR (kiri) dikatakan tidak berada di rumahnya sebaliknya berehat di pantai di Santa Catarina bersama rakannya. FOTO Agensi
NEYMAR (kiri) dikatakan tidak berada di rumahnya sebaliknya berehat di pantai di Santa Catarina bersama rakannya. FOTO Agensi
AFP

Mangaratiba: Pihak pendakwa Brazil berkata, mereka akan melakukan siasatan berkaitan laporan bintang Brazil, Neymar menganjurkan parti mega sempena tahun baru di rumah agamnya berdekatan Rio de Janeiro, tatkala langkah-langkah keselamatan awam masih lagi berjalan bagi mengurangkan kematian disebabkan Covid-19.

Sumber rapat dengan penyerang itu menafikan Neymar menganjurkan parti besar-besaran, sebelum ia menjadi sangat misteri apabila pemain Paris Saint-Germain itu memuat naik gambarnya bersama seorang rakannya di dalam sebuah kapal layar berdekatan pantai di Santa Catarina.

Pejabat Pendakwa Rio berkata dalam satu kenyataan mereka membuka siasatan selepas menerima beberapa dakwaan berdasarkan maklumat yang dikeluarkan media, mengenai majlis yang ditaja Neymar.

Mereka juga menggesa Neymar, serta komuniti berdekatan rumahnya, segera memberi penjelasan mengenai jumlah tetamu, penganjur parti dan sebarang langkah-langkah kesihatan yang diguna pakai.

TINJAUAN dari udara di kediaman Neymar. FOTO Agensi
TINJAUAN dari udara di kediaman Neymar. FOTO Agensi

Salah seorang pembantu Neymar memberitahu AFP, dia tidak tahu sama ada pemain itu akan menyambut tahun baru di kediaman mewah di Mangaratiba, pekat kecil 130 kilometer dari Rio atau terus berada di Santa Catarina.

Media melaporkan parti yang dirancang itu membabitkan kehadiran di antara 150 hingga 500 tetamu, tatkala negara berkenaan adalah di antara yang mencatatkan jumlah kes Covid paling tinggi.

AFP meninjau dari udara di rumah agam berkenaan, dengan tidak menjumpai sebarang bukti bahawa parti berkenaan sedang berlangsung.

Neymar membeli rumah agam berkenaan pada 2016 dan berdasarkan laporan media ia berkeluasan 10,000 meter persegi dengan menempatkan helipad, gelanggang tenis, spa, sauna, bilik refleksologi, gimnasium dan kawasan tempat makan serta minum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 3:20 PM