MESSI mempunyai baki kontrak bersama Barcelona sehingga tahun depan. FOTO AFP
MESSI mempunyai baki kontrak bersama Barcelona sehingga tahun depan. FOTO AFP
Agensi

Barcelona: Lionel Messi digesa menyertai Napoli sekali gus mengikut jejak langkah legenda Argentina, Diego Maradona.

Maradona yang meninggal dunia 25 November lalu pada usia 60 tahun, meraih kejayaan dalam kariernya bersama gergasi Serie A itu.

Dia dilabel sebagai wira di Naples dan Kevin-Prince Boateng percaya Messi, 33, menyertai kelab itu sebagai tanda penghormatan kepada Maradona.

Kontrak bintang Barcelona itu berakhir 2021 dan Boateng yang kini beraksi bersama Monza berkata, ia adalah masa yang tepat untuk Messi meninggalkan Camp Nou.

"Messi akan menamatkan kontraknya di Barcelona tetapi lebih menarik jika dia menawarkan dirinya untuk beraksi bersama Napoli.

"Mereka tidak membenarkan mana-mana pemain menyarung jersi nombor 10. Tapi adalah satu penghormatan jika Messi menyarung jersi itu sekali gus beraksi untuk Napoli satu atau dua tahun tanpa memikirkan mengenai wang atau apa sahaja," katanya.

Maradona membantu Napoli memenangi dua gelaran Serie A selain Piala Uefa sepanjang tujuh tahun bersama kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 9:08 PM