BARISAN pemain Barcelona dan Osasuna serta pengadil memberi penghormatan kepada Maradona sebelum bermulanya perlawanan. FOTO AFP
BARISAN pemain Barcelona dan Osasuna serta pengadil memberi penghormatan kepada Maradona sebelum bermulanya perlawanan. FOTO AFP
AFP

Madrid: Barcelona mengikut nasihat daripada jurulatih Ronald Koeman dan memberi penghormatan kepada bekas pemain kelab itu, Diego Maradona dengan kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas Osasuna pada saingan La Liga.

Maradona yang beraksi bersama Barcelona selama dua musim, meninggal dunia Rabu lalu pada usia 60 tahun.

Sebelum bermulanya perlawanan, kelab memainkan lagu 'The Song of the Birds' dan setiap pemain berdiri membentuk bulatan di tengah padang di mana jersi Maradona diletakkan di tengah-tengah bulatan itu.

Lionel Messi yang mewarisi jersi bernombor 10 yang pernah dipakai Maradona, menundukkan kepalanya.

Bendera di Camp Nou di pasang separuh tiang manakala imej Maradona terpampang di setiap skrin dan ruang iklan digital.

Jumaat lalu, Koeman berkata penghormatan terbaik yang boleh dilakukannya oleh pasukannya kepada Maradona adalah menunjukkan bahawa mereka mampu memberi aksi terbaik di atas padang.

Dia membariskan semula Messi dan Frenkie de Jong yang tidak beraksi ketika mereka melakar kemenangan 4-0 ke atas Dynamo Kiev selain turut menurunkan Antoine Griezmann.

"Ia detik yang sangat hebat. Messi menjaringkan gol dan memberi penghormatan kepada Maradona.

"Kami di Eropah tidak sedar betapa besarnya nama Maradona di Argentina," kata Koeman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 9:15 AM