Penyerang Bayern Munich, Eric Maxim Choupo-Moting (kiri) mengatasi pemain Lokomotiv Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Penyerang Bayern Munich, Eric Maxim Choupo-Moting (kiri) mengatasi pemain Lokomotiv Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Munich, Jerman: Penyerang Bayern Munich, Eric Choupo-Moting melutut sambil mengangkat tangan ketika meraikan jaringannya selepas memastikan kemenangan 2-0 ke atas Lokomotiv Moscow pada saingan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, pagi ini.

Pendirian penyerang itu terhadap isu perkauman hadir hanya 24 jam selepas rakan sepasukan di Paris Saint-Germain, meninggalkan padang sebagai bantahan terhadap dakwaan wujudnya isu perkauman daripada pengadil keempat dalam perlawanan kelab itu menentang Istanbul Basaksehir semalam.

"Saya sememangnya mengikuti apa yang berlaku semalam, dan ia sedih untuk dilihat, tapi reaksi kedua-dua pasukan sangat hebat.

"Pertarungan menentang perkauman akan diteruskan, kita tidak boleh menafikannya, kita mesti proaktif dan menyatakannya," kata Choupo-Moting kepada Sky.

Jaringan Choupo-Moting mengesahkan kemenangan selesa buat Bayern, memberikan juara bertahan itu kemenangan kelima dalam usaha mempertahankan kejuaraan mereka musim ini.

"Kami bergelut untuk mencari ruang pada babak pertama, adalah penting untuk menjaringkan gol pertama.

"Kami terus memberi tekanan dan saya gembira berjaya mendapatkan gol itu," kata Choupo-Moting.

Ketika mereka sudah menjuarai Kumpulan A, jurulatih Bayern, Hansi Flick meletakkan pemain seperti Robert Lewandowski, Kingsley Coman dan Serge Gnabry di bangku simpanan berdepan Lokomotiv.

Pemain pertahanan tengah Niklas Suele memastikan jaringan pembukaan pada babak kedua sebelum Choupo-Moting menambah jaringan buat wakil Jerman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 8:02 AM